Sunday, April 29, 2012

Abu Nashr Bisyr Bin Al-Haris

Abu Nashr Bisyr Bin Al-Haris dilahirkan berhampiran kota Merv sekitar tahun 150 H/767 M. Setelah meninggalkan hidup berfoya-foya, ia mempelajari hadis di Baghdad, kemudian meninggalkan pendidikan formal untuk hidup sebagai pengemis yang sentiasa kelaparan dan berkaki ayam. Bisyr meninggal dunia di kota Baghdad pada tahun 227 H/841 M. Ia sangat dikagumi oleh Ahmad Bin Hambal dan dihormati oleh Khalifah Al-Makmun.

Ahmad Bin Ibrahim mengatakan : Bisyr berkata kepadaku :

"Beritahu kepada Maaruf bahawa aku akan menziarahinya setelah aku selesai solat."

Pesanan itu disampaikan kepada Maaruf. Kemudian aku dan Maaruf menanti kedatangannya. Tetapi setelah kami selesai melakukan solat Zuhur, Bisyr masih belum datang. Ketika kami melakukan solat Asar, ia belum juga kelihatan. Begitu juga halnya setelah kami solat Isyak.

"Maha Besar Allah, apakah seorang manusia seperti Bisyr masih suka memungkiri janji? Sungguh menghairankan!" aku berkata dalam hati.

Aku masih mengharapkan kedatangan Bisyr. Waktu itu kami sedang berada di pintu masjid. Tidak lama kemudian kelihatanlah Bisyr sedang mengepit sehelai sejadah berjalan ke arah kami. Apabila sampai di Sungai Tigris, Bisyr terus menyeberanginya dengan berjalan di atas air. Ia lalu menghampiri kami. Bisyr dan Maaruf bermuzahakah sepanjang malam. Setelah Subuh barulah Bisyr meninggalkan tempat itu dan seperti ketika ia datang, sungai itu diseberanginyadengan berjalan di atas permukaannya. Aku bergegas mengikutinya, dan setelah ku cium tangan dan kakinya, aku meminta kepadanya :

"Berdoalah untuk diriku."

Bisyr mendoakan diriku. Setelah itu ia berkata :

"Jangan ceritakan apa-apa yang telah engkau saksikan kepada sesiapa pun!"

Selagi Bisyr masih hidup, kejadian itu tidak pernahku ceritakan kepada sesiapa pun.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Orang ramai berkumpul mendengar Bisyr memberikan ceramah mengenai Rasa Puas. Salah seorang di antara pendengar berkata :

"Abu Nashr, engkau tidak mahu menerima pemberian orang kerana ingin dimuliakan. Jika engkau benar-benar melakukan pengasingan diri dan memalingkan wajahmu dari dunia ini, maka terimalah sumbangan-sumbangan yang diberikan kepadamu agar engkau tidak lagi dipandang sebagai orang yang mulia. Kemudian secara sembunyi berikanlah semua itu kepada orang-orang miskin. Setelah itu jangan engkau tidak yakin dalam penyerahan kepada Allah, dan terimalah nafkahmu dari alam ghaib."

Kata-kata ini memberi kesan kepada murid-murid Bisyr.

"Pastikanlah oleh kamu," jawab Bisyr. "Orang-orang miskin terbahagi tiga golongan. Golongan pertama adalah orang-orang miskin yang tidak pernah meminta-minta dan apabila mereka diberikan sesuatu mereka menolaknya. Orang-orang seperti ini adalah ahli kerohanian. Seandainya orang-orang seperti ini meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaan mereka. Golongan kedua adalah orang-orang miskin yang tidak pernah meminta-minta, tetapi apabila mereka diberikan sesuatu, mereka masih mahu menerimanya. Mereka itu berada di tengah-tengah. Mereka adalah manusia yang teguh di dalam pengabdian diri kepada Allah dan mereka inilah yang akan diberi perhatian oleh Allah di dalam syurga. Golongan ketiga adalah orang-orang miskin yang duduk dengan sabar menantikan pemberian orang sesuai dengan kesanggupan, tetapi mereka menolak godaan hawa nafsu."

"Aku berpuas hati dengan keteranganmu ini, semoga Allah memberkatimu," orang yang menegur tadi berkata.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Beberapa orang mengunjungi Bisyr dan berkata :

"Kami datang dari Syria hendak pergi menunaikan haji. Mahukah engkau menyertai kami?"

"Dengan tiga syarat," jawab Bisyr. "Yang pertama kita tidak akan membawa bekalan. Kedua, kita tidak menerima belas kasihan orang di dalam perjalanan. Dan ketiga, jika ada orang memberikan sesuatu, kita tidak boleh menerimanya."

"Pergi tanpa bekalan dan tidak meminta kepada orang lain dalam perjalanan dapat kami terima," jawab mereka. "Tetapi apabila orang lain memberikan sesuatu, mengapa kita tidak boleh menerimanya?"

"Sebenarnya kamu tidak bertawakal kepada Allah tetapi berharap kepada bekalan yang kamu bawa," cela Bisyr kepada mereka.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seorang lelaki meminta nasihat kepada Bisyr.

"Aku mempunyai 2000 dirham yangku dapati secara halal. Aku ingin pergi menunaikan ibadah haji."

"Apakah engkau hendak pergi bersuka-suka?" tanya Bisyr. "Jika engkau benar-benar berniat untuk menunaikan perintah Allah, maka jelaskan hutang seseorang, atau berikan wang itu kepada anak yatim atau kepada seseorang yang memerlukan pertolongan. Kesenangan yang diberikan kepada seorang muslim lebih disukai Allah daripada 1000 kali menunaikan ibadah haji."

"Namun aku lebih suka wang ini digunakan untuk menunaikan ibadah haji," lelaki itu menjawab.

"Ya, kerana engkau telah memperolehinya dengan cara yang tidak halal," jawab Bisyr. "Maka engkau tidak akan merasa tenang sebelum engkau menghabiskannya dengan cara-cara yang tidak baik."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bisyr menceritakan :

Pada suatu ketika, aku bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. . Baginda s.a.w. bertanya kepadaku :

"Bisyr, tahukah engkau mengapa Allah telah memilihmu diantara manusia yang sezaman denganmu? Dan tahukah engkau mengapa Allah memuliakanmu?"

"Aku tidak tahu ya Rasulullah," jawabku.

"Kerana engkau telah mengikuti Sunnahku, memuliakan orang-orang soleh, memberi nasihat-nasihat yang baik kepada saudara-saudaramu, mencintaiku dan keluargaku," Nabi s.a.w. menjelaskan. "Kerana alasan-alasan itulah Allah telah memilihmu termasuk ke dalam golongan orang-orang soleh."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bisyr menceritakan pula sebagai berikut :

Suatu malam aku bermimpi bertemu dengan Saidina Ali. Aku berkata kepadanya:

"Berilah aku satu nasihat."

"Alangkah baik belas kasihan yang dilakukan oleh orang-orang kaya kepada orang-orang miskin, semata-mata untuk mendapatkan pahala dari yang Maha Pengasih. Tetapi lebih baik adalah keengganan orang-orang miskin untuk menerima pemberian orang-orang kaya kerana percaya kemurahan Allah pencipta alam sempesta," jawab Saidina Ali.

Bisyr sedang terbaring disaat-saat kematiannya. Seseorang datang kepadanya dan mengeluh tentang nasibnya yang malang. Bisyr membuka pakaiannya dan memberikan kepada lelaki itu, kemudian memakai pakaian yang dipinjam dari seorang sahabat. Dengan memakai pakaian pinjamannya itulah ia menemui ajalnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Diriwayatkan bahawa selama Bisyr masih hidup, tidak ada keldai yang membuang najis di tengah-tengah kota Baghdad kerana menghormati Bisyr yang berjalan dengan tidak memakai kasut. Pada suatu malam seorang lelaki melihat keldai yang dibawanya membuang najis di atas jalan. Maka berserulah ia:

"Tentu Bisyr telah tiada!"

Mendengar kata-kata itu, orang ramai pun pergi mendapat khabar tentang Bisyr. Ternyata kata-katanya itu memang benar. Lalu ditanyakan kepadanya bagaimana ia boleh tahu bahawa Bisyr telah meninggal dunia.

"Kerana selama Bisyr masih hidup, tidak pernah ada najis keldai terlihat di tengah-tengah jalan kota Baghdad. Tadi aku lihat keldai telah membuang kotoran di tengah jalan, maka tahulah aku bahawa Bisyr telah tiada."

No comments:

Post a Comment