Friday, September 7, 2012

Abu Sulaiman Daud Bin Nushair Ath-Tha`i

Abu Sulaiman Daud Bin Nushair Ath-Tha`i dari Kufah adalah seorang yang sangat termasyhur dari segi kepandaian. Ia pernah menjadi murid Abu Hanifah, dan setelah diperkenalkan dengan jalan sufi oleh Habib Ar-Ra`i, ia membuang semua buku-buku yang dimilikinya ke sungai Euphrat. Ia meninggal dunia antara tahun 160 dan 165 H/777 dan 78 M.

Harun Ar-Rasyid meminta Abu Yusuf supaya menghantarnya ke rumah Daud. Maka pergilah mereka ke rumah Daud tetapi tidak dibenarkan masuk. Abu Yusuf memohon ibu Daud supaya mahu memujuk anaknya.

"Terimalah mereka," ibunya memujuk Daud.

"Apakah urusanku dengan penduduk dunia dan orang-orang yang berdosa?" jawab Daud tidak mahu mengalah.

"Demi hakku yang telah menyusuimu, aku minta kepadamu, izinkanlah mereka masuk!" desak ibunya.

Maka berserulah Daud :

"Ya Allah, Engkau telah berkata :"Patuhilah ibumu, kerana keredhaanKu adalah keredhaannya." Jika tidak demikian, apakah perluku kepada mereka?"

Akhirnya Daud bersedia menerima mereka. Harun dan Yusuf masuk dan duduk. Daud memberikan penjelasannya dan Harun menangis tersedu-sedu. Ketika hendak kembali ke istana, Harun meletakkan sekeping wang emas sambil berkata:

"Wang ini adalah halal."

"Ambillah wang itu kembali," kata Daud. "Aku tidak memerlukan wang itu. Aku telah menjual sebuah rumah ku terima sebagai warisan yang halal dan hidup dengan penjualan itu. Aku telah bermohon kepada Allah, jika wang itu telah habis, agar Dia mencabut nyawaku, sehingga aku tidak memerlukan bantuan dari seorang manusia pun. Aku berkeyakinan bahawa Allah telah mengabulkan permohonanku itu."

Harun Ar-Rasyid dan Abu Yusuf kembali ke istana. Kemudian Abu Yusuf menemui orang yang diamanahkan menjaga wang itu oleh Daud dan bertanya:

"Banyak manakah wang Daud yang tinggal?"
"Dua dirham," jawab orang itu. "Setiap hari Daud membelanjakan satu sen wang perak."

Abu Yusuf membuat perhitungan. Beberapa hari kemudian di dalam masjid di depan semua jemaah ia mengumunkan:

"Hari ini Daud meninggal dunia."

Setelah diselidiki ternyatalah bahawa kata-kata Abu Yusuf itu benar.

"Bagaimanakah engkau mengetahui tentang kematian Daud?" orang ramai bertanya kepada Abu Yusuf.

"Aku telah mengira bahawa pada hari ini Daud tidak mempunyai wang lagi. Aku tahu bahawa doa Daud pasti dimakbulkan Allah," jawab Abu yusuf.

No comments:

Post a Comment