Thursday, September 13, 2012

Habib Bin Muhammad Al-`Ajami Al-Basri

Habib Bin Muhammad Al-`Ajami Al-Basri, seorang Parsi yang menetap di Basrah. Ia adalah seorang ahli hadis terkenal yang merawikan hadis-hadis dari Hassan Al-Basri, Ibnu Sirin dan lain-lain tokoh yang dipercayai.

Dia bertaubat dari kehidupan yang jahil dan berfoya-foya disebabkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh Hassan sangat menyentuh hatinya. Habib Al-`ajami sering mengikut pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh Hassan sehingga akhirnya ia menjadi salah seorang sahabat beliau yang paling akrab.

Pada suatu hari seorang wanita tua datang kepada Habib, dia merebahkan dirinya di depan Habib dengan sedih hati.

"Aku mempunyai seorang putera yang telah lama pergi meninggalkanku. Aku tidak sanggup lebih lama lagi berpisah dengannya, berdoalah kepada Allah," mohonnya kepada Habib. "Semoga berkat doamu, Allah mengembalikan puteraku itu kepadaku."

"Adakah engkau memiliki wang?" tanya Habib kepada wanita itu.

"Aku mempunyai dua dirham," jawabnya.

"Berikan wang tersebut kepada orang-orang miskin!"

Kemudian Habib membaca sebuah doa lalu ia berkata kepada wanita itu:

"Pulanglah puteramu telah kembali."

Belum lagi wanita itu sampai ke rumah, dilihat anaknya sedang menantikannya.

"Wahai! Anakku telah kembali!" wanita itu berseru.

Kemudian dibawanya anak itu menemui Habib.

"Apakah yang telah engkau alami?" tanya Habib kepada putera wanita itu.

"Aku sedang berada di Kirmani, guruku menyuruhku membeli daging. Ketika daging itu ku beli dan aku hendak pulang kepada guruku, tiba-tiba bertiuplah angin kencang, tubuhku dibawa terbang dan terdengar olehku satu suara yang berkata: "Wahai angin, demi doa Habib dan dua dirham yang telah disedekahkan kepada orang-orag miskin, pulangkanlah ia ke rumahnya sendiri."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada tanggal 8 Zulhijjah, Habib kelihatan berada di kota Basrah dan pada keesokan harinya di Padang Arafah. Di waktu yang lain, bencana kelapran melanda koa Basrah. Kerana itu, dengan berhutang Habib membeli banyak bahan-bahan makanan dan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang miskin. Setiap hari Habib menggulung tempat wangnya dan menyimpan di bawah lantai. Apabila pedagang datang untuk menagih hutang, barulah bekas itu dikeluarkannya. Sungguh ajaib, ternyata bekas itu sudah penuh dengan kepingan-kepingan dirham. Dari situ dijelaskannya semua hutang-hutangnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rumah Habib terletak di sebuah persimpangan jalan di kota Basrah. Ia mempunyai sebuah baju bulu yang selalu dipakainya baik di musim panas mahupun di musim sejuk. Sekali peristiwa, ketika Habib hendak bersuci, baju itu ditanggalkannya dan dilemparkannya ke atas tanah.

Tidak berapa lama kemudian Hassan Al-Basri melalui tempat itu. Melihat baju Habib yang terletak di atas jalan, ia berkata:

"Dasar Habib seorang Barbar, tidak peduli berapa harga baju bulu ini! Baju seperti ini tidak boleh dibiarkan saja di tempat ini, akan hilang nanti."

Hassan berdiri di tempat itu untuk menjaga baju tersebut. Tidak lama kemudian Habib pun kembali.

"Wahai imam kaum Muslimin," Habib menegur Hassan setelah memberi salam kepadanya, "mengapakah engkau berdiri di sini?"

"Tahukah engkau bahawa baju-baju seperti ini tidak boleh ditinggaljan di tempat begini? Akan hilang nanti. Katakan, kepada siapakah engkau memberi baju inii?"

"Ku berikan kepada Dia, yang selanjutnya memberikannya kepadamu," jawab Habib.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari Hassan berkunjung ke rumah Habib. Habib memberikan kepadanya dua potong roti gandum dan sedikit garam. Hassan sudah bersiap-siap hendak menyantap hidangan itu, tetapi seorang pengemis datang dan Habib menyerahkan kedua potong roti berserta garam itu kepadanya.

Hassan merasa hairan lalu berkata:

"Habib, engkau memang seorang manusia budiman. Tetapi alangkah baiknya seandainya engkau memiliki sedikit pengetahuan . Engkau mengambil roti lalu memberikan semuanya kepada seorang pengemis. Seharusnya engkau memberikan sebahagian kepada si pengemis dan sebahagian lagi kepada tetamumu."

Habib tidak memberikan jawapan.

Tidak lama kemudian seorang budak datang sambil menjunjung sebuah dulang. Di atas dulang tersebut ada daging kambing panggang, kuih yang manis-manis dan wang perak 500 dirham. Budak itu menyerahkan dulang tersebut kepada Habib. Kemudian Habib membahagi-bahagikan wang tersebut kepada orang-orang miskin dan menempatkan dulang tersebut di samping Hassan.

Ketika Hassan memakan daging panggang itu, Habib berkata kepadanya:

"Guru, engkau adalah seorang manusia budiman, tetapi alangkah baik seandainya engkau memiliki sedikit keyakinan. Pengetahuan harus disertai dengan keyakinan."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari ketika tentera-tentera Hajjaj mencari-cari Hassan, ia sedang bersembunyi di dalam pertapaan Habib.

"Apakah engkau telah melihat Hassan pada hari ini?" tanya mereka kepada Habib.

"Ya, aku telah melihatnya," jawab Habib.

"Di manakah Hassan pada saat ini?"

"Di dalam pertapaan ini."

Para tentera tersebut memasuki pertapaan Habib dan menggeledahnya, namun mereka tidak bertemu dengan Hassan.

"Tujuh kali tubuhku tersentuh oleh mereka, namun mereka tidak melihat diriku," Hassan mengesahkan.

Ketika meninggalkan pertapaan itu Hassan mencela Habib:

"Habib, engkau adalah seorang murid yang tidak berbakti kepada guru. Engkau telah menunjukkan tempat persembunyianku."

"Guru, kerana aku berterus terang itulah engkau dapat selamat. Jika tadi aku berdusta, nescaya kita berdua sama-sama tertangkap."

"Ayat-ayat apakah yang telah engkau bacakan sehingga mereka tidak melihat diriku?" tanya Hassan.

"Aku membaca Ayat Kursi 10 kali, Rasul Beriman 10 kali, dan katakanlah, Allah itu Esa 10 kali. Setelah itu aku berkata: "Ya Allah, telahku berikan Hassan kepadaMu dan oleh kerana itu jagalah dia."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu ketika Hassan ingin pergi ke suatu tempat . Lalu menyusuri tebing-tebing di pinggir Sungai Tigris sambil melihat-lihat di sekitarnya. Tiba-tiba Habib muncul di tempat itu.

"Imam, mengapakah engkau berada di sini?" Habib bertanya.

"Aku ingin pergi ke suatu tempat namun perahu belum juga tiba," jawab Hassan.

"Guru, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu? Aku telah mempelajari segala hal yangku ketahui dari dirimu. Buanglah rasa iri kepada orang-orang lain dari dalam dadamu. Tutuplah matamu dari kesenangan-kesenangan dunia. Sedarilah bahawa penderitaan adalah sebuah pemberian yang sangat berharga dan sedarilah bahawa Allah menentukan segala sesuatu. Setelah itu turunlah dan berjalanlah di atas air."

Selesai berkata demikian Habib memijakkan kai ke permukaan air dan meninggalkan tempat itu. Melihat kejadian ini, Hassan merasa hairan dan jatuh pengsan. Ketika ia sedar, orang-orang bertanya kepadanya:

"Wahai Imam kaum Muslimin, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu?"

"Baru saja muridku Habib mencela diriku, setelah itu ia berjalan di atas air dan meninggalkan diriku sedang aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jika di Akhirat nanti sebuah suara menyerukan: "Laluilah jalan yang berada di atas api yang menyala-nyala" sedang hatiku tidak yakin seperti sekarang ini, apakah dayaku?"

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu hari Hassan bertanya kepada Habib:

"Habib, bagaimanakah engkau mendapatkan karamah-karamah itu?"

Habib menjawab:

"Dengan memutihkan hatiku sementara engkau menghitamkan kertas."

Hassan berkata:

"Pengetahuanku tidak memberi manfaat kepada diriku sendiri, tetapi memberi manfaat kepada orang lain."

No comments:

Post a Comment