Sunday, April 29, 2012

Abu Nashr Bisyr Bin Al-Haris

Abu Nashr Bisyr Bin Al-Haris dilahirkan berhampiran kota Merv sekitar tahun 150 H/767 M. Setelah meninggalkan hidup berfoya-foya, ia mempelajari hadis di Baghdad, kemudian meninggalkan pendidikan formal untuk hidup sebagai pengemis yang sentiasa kelaparan dan berkaki ayam. Bisyr meninggal dunia di kota Baghdad pada tahun 227 H/841 M. Ia sangat dikagumi oleh Ahmad Bin Hambal dan dihormati oleh Khalifah Al-Makmun.

Ahmad Bin Ibrahim mengatakan : Bisyr berkata kepadaku :

"Beritahu kepada Maaruf bahawa aku akan menziarahinya setelah aku selesai solat."

Pesanan itu disampaikan kepada Maaruf. Kemudian aku dan Maaruf menanti kedatangannya. Tetapi setelah kami selesai melakukan solat Zuhur, Bisyr masih belum datang. Ketika kami melakukan solat Asar, ia belum juga kelihatan. Begitu juga halnya setelah kami solat Isyak.

"Maha Besar Allah, apakah seorang manusia seperti Bisyr masih suka memungkiri janji? Sungguh menghairankan!" aku berkata dalam hati.

Aku masih mengharapkan kedatangan Bisyr. Waktu itu kami sedang berada di pintu masjid. Tidak lama kemudian kelihatanlah Bisyr sedang mengepit sehelai sejadah berjalan ke arah kami. Apabila sampai di Sungai Tigris, Bisyr terus menyeberanginya dengan berjalan di atas air. Ia lalu menghampiri kami. Bisyr dan Maaruf bermuzahakah sepanjang malam. Setelah Subuh barulah Bisyr meninggalkan tempat itu dan seperti ketika ia datang, sungai itu diseberanginyadengan berjalan di atas permukaannya. Aku bergegas mengikutinya, dan setelah ku cium tangan dan kakinya, aku meminta kepadanya :

"Berdoalah untuk diriku."

Bisyr mendoakan diriku. Setelah itu ia berkata :

"Jangan ceritakan apa-apa yang telah engkau saksikan kepada sesiapa pun!"

Selagi Bisyr masih hidup, kejadian itu tidak pernahku ceritakan kepada sesiapa pun.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Orang ramai berkumpul mendengar Bisyr memberikan ceramah mengenai Rasa Puas. Salah seorang di antara pendengar berkata :

"Abu Nashr, engkau tidak mahu menerima pemberian orang kerana ingin dimuliakan. Jika engkau benar-benar melakukan pengasingan diri dan memalingkan wajahmu dari dunia ini, maka terimalah sumbangan-sumbangan yang diberikan kepadamu agar engkau tidak lagi dipandang sebagai orang yang mulia. Kemudian secara sembunyi berikanlah semua itu kepada orang-orang miskin. Setelah itu jangan engkau tidak yakin dalam penyerahan kepada Allah, dan terimalah nafkahmu dari alam ghaib."

Kata-kata ini memberi kesan kepada murid-murid Bisyr.

"Pastikanlah oleh kamu," jawab Bisyr. "Orang-orang miskin terbahagi tiga golongan. Golongan pertama adalah orang-orang miskin yang tidak pernah meminta-minta dan apabila mereka diberikan sesuatu mereka menolaknya. Orang-orang seperti ini adalah ahli kerohanian. Seandainya orang-orang seperti ini meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaan mereka. Golongan kedua adalah orang-orang miskin yang tidak pernah meminta-minta, tetapi apabila mereka diberikan sesuatu, mereka masih mahu menerimanya. Mereka itu berada di tengah-tengah. Mereka adalah manusia yang teguh di dalam pengabdian diri kepada Allah dan mereka inilah yang akan diberi perhatian oleh Allah di dalam syurga. Golongan ketiga adalah orang-orang miskin yang duduk dengan sabar menantikan pemberian orang sesuai dengan kesanggupan, tetapi mereka menolak godaan hawa nafsu."

"Aku berpuas hati dengan keteranganmu ini, semoga Allah memberkatimu," orang yang menegur tadi berkata.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Beberapa orang mengunjungi Bisyr dan berkata :

"Kami datang dari Syria hendak pergi menunaikan haji. Mahukah engkau menyertai kami?"

"Dengan tiga syarat," jawab Bisyr. "Yang pertama kita tidak akan membawa bekalan. Kedua, kita tidak menerima belas kasihan orang di dalam perjalanan. Dan ketiga, jika ada orang memberikan sesuatu, kita tidak boleh menerimanya."

"Pergi tanpa bekalan dan tidak meminta kepada orang lain dalam perjalanan dapat kami terima," jawab mereka. "Tetapi apabila orang lain memberikan sesuatu, mengapa kita tidak boleh menerimanya?"

"Sebenarnya kamu tidak bertawakal kepada Allah tetapi berharap kepada bekalan yang kamu bawa," cela Bisyr kepada mereka.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seorang lelaki meminta nasihat kepada Bisyr.

"Aku mempunyai 2000 dirham yangku dapati secara halal. Aku ingin pergi menunaikan ibadah haji."

"Apakah engkau hendak pergi bersuka-suka?" tanya Bisyr. "Jika engkau benar-benar berniat untuk menunaikan perintah Allah, maka jelaskan hutang seseorang, atau berikan wang itu kepada anak yatim atau kepada seseorang yang memerlukan pertolongan. Kesenangan yang diberikan kepada seorang muslim lebih disukai Allah daripada 1000 kali menunaikan ibadah haji."

"Namun aku lebih suka wang ini digunakan untuk menunaikan ibadah haji," lelaki itu menjawab.

"Ya, kerana engkau telah memperolehinya dengan cara yang tidak halal," jawab Bisyr. "Maka engkau tidak akan merasa tenang sebelum engkau menghabiskannya dengan cara-cara yang tidak baik."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bisyr menceritakan :

Pada suatu ketika, aku bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. . Baginda s.a.w. bertanya kepadaku :

"Bisyr, tahukah engkau mengapa Allah telah memilihmu diantara manusia yang sezaman denganmu? Dan tahukah engkau mengapa Allah memuliakanmu?"

"Aku tidak tahu ya Rasulullah," jawabku.

"Kerana engkau telah mengikuti Sunnahku, memuliakan orang-orang soleh, memberi nasihat-nasihat yang baik kepada saudara-saudaramu, mencintaiku dan keluargaku," Nabi s.a.w. menjelaskan. "Kerana alasan-alasan itulah Allah telah memilihmu termasuk ke dalam golongan orang-orang soleh."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bisyr menceritakan pula sebagai berikut :

Suatu malam aku bermimpi bertemu dengan Saidina Ali. Aku berkata kepadanya:

"Berilah aku satu nasihat."

"Alangkah baik belas kasihan yang dilakukan oleh orang-orang kaya kepada orang-orang miskin, semata-mata untuk mendapatkan pahala dari yang Maha Pengasih. Tetapi lebih baik adalah keengganan orang-orang miskin untuk menerima pemberian orang-orang kaya kerana percaya kemurahan Allah pencipta alam sempesta," jawab Saidina Ali.

Bisyr sedang terbaring disaat-saat kematiannya. Seseorang datang kepadanya dan mengeluh tentang nasibnya yang malang. Bisyr membuka pakaiannya dan memberikan kepada lelaki itu, kemudian memakai pakaian yang dipinjam dari seorang sahabat. Dengan memakai pakaian pinjamannya itulah ia menemui ajalnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Diriwayatkan bahawa selama Bisyr masih hidup, tidak ada keldai yang membuang najis di tengah-tengah kota Baghdad kerana menghormati Bisyr yang berjalan dengan tidak memakai kasut. Pada suatu malam seorang lelaki melihat keldai yang dibawanya membuang najis di atas jalan. Maka berserulah ia:

"Tentu Bisyr telah tiada!"

Mendengar kata-kata itu, orang ramai pun pergi mendapat khabar tentang Bisyr. Ternyata kata-katanya itu memang benar. Lalu ditanyakan kepadanya bagaimana ia boleh tahu bahawa Bisyr telah meninggal dunia.

"Kerana selama Bisyr masih hidup, tidak pernah ada najis keldai terlihat di tengah-tengah jalan kota Baghdad. Tadi aku lihat keldai telah membuang kotoran di tengah jalan, maka tahulah aku bahawa Bisyr telah tiada."

Thursday, April 26, 2012

Abu Said Ahmad Bin Isa Al-Kharraz

Abu Said Ahmad Bin Isa Al-Kharraz dari Baghdad adalah seorang tukang kasut. Ia telah berjumpa dengan Zunnun Al-Misri, dan bersahabat dengan Bisyr Al-Hafiz dan Sirri As-Saqathi. Dia dianggap telah merumuskan fahaman mistik mengenai kelepasan (dari sifat-sifat manusiawi) dan kelanjutan (di dalam sifat-sifat Illahi). Banyak buku-buku yang telah ditulisnya dan sebahagian diantaranya masih dapat ditemui pada masa ini. Tarikh kematiannya belum dapat dipastikan, mungkin antara tahun 279 H/892 M atau 286 H/899 M.

Abu Said menceritakan mimpi-mimpi yang berikut ini :

Pada suau ketika aku bermimpi dua Malaikat turun dari langit dan bertanya kepadaku :

"Apakah kesetiaan itu?"

Aku pun menjawab : "Memenuhi perjanjian dengan Allah."

Jawapanmu benar," Malaikat-malaikat itu berkata dan keduanya terbang semula ke atas langit.

Kemudian aku bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. . Baginda s.a.w. bertanya kepadaku :

"Apakah engkau mencintai aku?"

"Maafkanlah aku," aku menjawab. "Kerana cintaku kepada Allah, membuat aku tak sempat mencintaimu."

Kemudian Nabi s.a.w. berkata : "Barangsiapa mencintai Allah sesungguhnya ia mencintaiku pula."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam sebuah mimpi yang lain aku bertemu dengan Iblis. Aku mengambil sebuah tongkat untuk memukulnya. Tetapi di saat itu juga terdengar olehku seruan dari langit : "Ia tidak takut kepada tongkat itu, yang ditakutinya adalah cahaya di dalam hatimu." Kemudian aku berkata kepada Iblis :

"Kemarilah!"

Iblis menjawab : "Apalah dayaku terhadapmu? Engkau telah mencampakkan sesuatu yang dapat ku gunakan untuk menyesatkan manusia."

"Apakah itu?" tanyaku.

"Dunia," jawabnya.

Kemudian ketika meninggalkanku, ia menoleh ke belakang dan berkata :

"Ada suatu hal kecil di dalam diri manusia yang dapat ku gunakan untuk mencapai tujuanku."

"Apakah itu?" aku bertanya.

"Duduk bersama dengan para remaja," jawab Iblis.

Ketika berada di Damaskus, sekali lagi aku bertemu dengan Nabi s.a.w. di dalam mimpi. Sambil diiring oleh Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Omar r.a. , Nabi s.a.w. menghampiriku. Ketika itu aku sedang melagukan sebait syair sambil menepuk-nepuk dada. Nabi berkata kepadaku :

"Keburukannya lebih besar dari kebaikannya."

Yang dimaksudkannya adalah bahawa seseorang jangan suka bersyair.

Wednesday, April 18, 2012

Aminah Binti Musa Al-Kazim

Di makam Sayidah Aminah Binti Musa Al-Kazim biasanya sering terdengar orang membaca Al-Quran di tengah malam hari. Pada suatu hari ada seorang saudagar menyerahkan 20 liter minyak dan menyuruhnya untuk menyalakan seluruh minak itu di lampu-lampu yang tergantung di sekitar makam Sayidah Aminah dalam satu malam. Pelayan itu menuangkan seluruh minyak itu ke dalam lampu-lampu yang berada di sekitar makam itu kemudian dinyalakannya. Tapi tidak ada satu lampu pun yang menyala. Pelayan itu berasa hairan melihat kejadian semacam itu. Waktu tertidur ia bermimpi melihat Sayidah Aminah berkata kepadanya :

"Hai saudara, segera kembalikan minyak itu kepada orang yang memberimu minyak itu dan katakan bahawa kami tidak akan menerima kecuali yang halal, tanyakan dari mana ia peroleh minyak itu."

Di pagi harinya ia menemui saudagar itu sambil berkata :

"Terimalah kembali minyak ini."

Tanya tuannya : "Apakah sebabnya?"

Jawab pelayan itu : "Kerana minyak itu tidak dipergunakan dan aku bermimpi melihat Sayidah berkata : "Kami tidak akan menerima kecuali barang yang halal".

Jawab saudagar itu : "Sungguh benar apa yang dikatakan oleh Sayidah Aminah, aku perolehnya dengan jalan tidak jujur."

Sayidah Aminah ini wafat di Mesir dan dikembumikan di sana. Makamnya tidak putus-putus dikunjungi orang.

Ibrahim Dasuqi

Ibrahim Dasuqi adalah seorang wali Allah yang terkenal pengaruhnya di Mesir. Ia adalah seorang kepada Tarekat Dasuqiah yang besar pengikutnya di Mesir. Dan ia adalah salah seoang wali Allah yang faham bahasa Ibrani, Siryani dan bahasa lain.

Sebahagian karamahnya pernah diceritakan oleh Almanawi bahawasanya pernah ada seekor buaya yang menerkam seorang anak kecil. Ibunda anak kecil itu datang mengadu kepada Ibrahim Dasuqi sambil bergetar sekujur tubuhnya. Ibrahim segera mengutus pesuruhnya untuk pergi ke tepi sungai dan berseru di hadapan buaya-buaya yang berada di dalam sungai itu agar mengembalikan anak kecil yang ditelan. Buaya yang menelan anak itu ketika mendengar seruan segera datang kepada pesuruh dan pergi bersama-sama ke hadapan Ibrahim Dasuqi. Setelah sampai di hadapannya Ibrahim memerintahkan buaya itu agar segera memuntahkan anak kecil yang ditelannya. Buaya itu segera mengeluarkan anak yang ditelannya hidup-hidup. Setelah anak kecil itu dikembalikan pada ibunya, Ibrahim Dasuqi berkata pada buaya :

"Matilah kamu dengan izin Allah."

Dengan izin Allah buaya itu segera mati.

Asy-Syibli

Keluarga Abu Bakr Dulafi Bin Jahdar (Jaafar Bin Yunus) Asy-Syibli berasal dari Khurasan, tetap ia sendiri dilahirkan di Baghdad atau Samarra. Ayahnya adalah seorang pemuka istana dan ia sendiri diangkat untuk mengabdi kepada negara. Sebagai Gabenor Demavend ia dipanggil ke Baghdad untuk dilantik dan di kota inilah ia berrtaubat kepada Allah. Sebagai salah seorang sahabat Junaid, ia menjadi seorang tokoh terkemuka di dalam peristiwa Al-Hallaj yang menghebohkan itu. Namanya menjadi aib kerana tingkah lakunya yang eksentik, tingkah laku yang menyebabkan ia dikirim ke sebuah rumah sakit gila. Asy-Syibli meninggal dunia pada tahun 334 H/ 846 M dalam usia 87 tahun.

Sudah berapa hari lamanya, baik di waktu siang mahupun di waktu malam, Syibli menari-nari di bawah sebatang pohon sambil meneriakkan, "Hu, Hu."

"Apakah ertinya semua ini?" sahabat-sahabatnya bertanya.

"Merpati hutan yang berada di atas pohon itu meneriakkan `ku, ku`, maka aku pun mengiringinya dengan `hu, hu`," jawab Syibli.

Diriwayatkan bahawa merpati hutan itu tidak menghentikan `ku, ku`nya sebelum Syibli menghentikan `hu, hu`nya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sewaktu Syibli berada di kota Baghdad, ia berkata :

"Kita memerlukan wang 1000 dirham untuk membeli kasut bagi orang-orang miskin yang hendak pergi ke tanah suci."

Seorang pemuda beragama Kristian berdiri dan berkata :

"Akan ku berikan wang sebanyak itu dengan satu syarat, iaitu engkau akan membawaku bersama."

"Anak muda," jawab Syibli, "engkau tidak boleh menunaikan ibadah haji."

"Kamu tidak mempunyai keldai. Anggaplah aku sebagai keldai dan bawalah aku pergi," jawab pemuda itu.

Akhirnya berangkatlah mereka dan pemuda Kristian itu menyertai mereka, dengan gigih melayani segala keperluan mereka.

"Bagaimanakah keadaanmu anak muda?" tanya Syibli.

"Aku sedemikian senang memikirkan bahawa aku dapat menyertai kamu sehingga aku tidak dapat tidur," jawab pemuda itu.

Pemuda Kristian itu membawa sebatang penyapu. Setiap kali mereka beristirehat di sebuah persinggahan ia segera menyapu lantainya dan mencabut semak-semak yang tumbuh di tempat itu. Ketika sampai di tempat di mana setiap orang harus memakai pakaian ihram, dilihatnya apa yang dilakukan oleh orang-orang lain dan ditirunya perbuatan mereka itu. Akhirnya sampailah mereka ke Kaabah.

Syibli berkata kepada pemuda Kristian itu :

"Dengan mengenakan tali pinggang itu aku tidak mengizinkan engkau memasuki Masjidil Haram."

Pemuda itu merebahkan kepalanya ke pintu Masjidil Haram dan mengeluh.

"Ya Allah, Syibli mengatakan bahawa ia tidak mengizinkan aku ke dalam rumahMu."

Seketika itu juga terdengarlah sebuah seruan :

"Syibli, Kami telah membawanya dari kota Baghdad dengan mengobarkan api cinta di dalam dadanya, dengan rantai cinta Kami telah menyeretnya ke rumah Kami. Syibli, berilah jalan kepadanya! Dan engkau sahabat, masuklah."

Pemuda Kristian itu masuk ke dalam Masjidil Haram untuk ikut melaksanakan ibadah haji. Kemudian barulah teman-teman seperjalanannya masuk. Setelah selesai mereka pun keluar dari Masjidil Haram tetapi pemuda itu masih ada di dalam.

"Anak muda, keluarlah!" Syibli berteriak.

"Dia tidak mengizinkan aku keluar dari sini," terdengar jawapan pemuda itu. "Setiap kali aku hendak keluar pintu tertutup. Bagaimanakah nasibku nanti?"

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ketika ajalnya hampir tiba, pandangan mata Syibli nampak murung. Dimintanya abu, kemudian ditaburkannya abu itu ke atas kepalanya. Ia sangat gelisah.

"Mengapakah engkau segelisah ini?" sahabat-sahabat bertanya.

"Aku sangat iri kepada Iblis," jawab Syibli. "Di sini aku duduk dalam dahaga tetapi Dia memberi kepada yang lain. Allah telah berfirman : Sesungguhnya laknatKu kepadamu sehingga hari Kiamat" (Q.S. 38 : 78)

"Aku iri kerana Iblislah yang mendapat kutukan Allah iu, padahal aku pun ingin menerima kutukan itu. Kerana walaupun berupa kutukan, bukankah kutukan itu dari Dia dan dari kekuasaanNya? Apakah yang diketahui oleh si laknat itu mengenai nilai kutukan itu? Mengapa Allah mengutuk pemimpim-pemimpin kaum Muslim dengan membuat mereka memijak mahkota di atas singgahsanaNya? Hanya ahli permatalah yang mengetahui nilai permata. Jika seorang raja mengenakan gelang manik yang diperbuat dari kaca atau kristal, nampaknya sevagai permata. Tetapi jika pedagang sayur yang menempah cincin benar-benar dari batu permata dan mengenakannya di jarinya, cincin itu nampak sebagai manik yang diperbuat dari kaca."

Setelah itu, beberapa saat Syibli terlihat tenang. Kemudian kegelisahannya kembali semula.

"Mengapakah engkau gelisah lagi?" tanya sahabat-sahabatnya.

"Angin sedang berhembus dari dua arah," jawab Syibli. "Yang satu angin kasih sayang dan yang lainnya kemurkaan. Siapa saja yang terhembus angin kasih sayang maka tercapailah harapannya, dan siapa saja yang terhembus angn kemurkaan maka tertutuplah penglihatannya. Kepada siapakah angin itu akan bertiup? Apabila angin kasih sayang itu berhembus ke arahku kerana harapan yang akan tercapai itu, maka aku dapat menanggung segala penderitaan dan jerih payah ini. Apabila angiin kemurkaan berhembus ke arahku, maka penderitaan ini tidak ada ertinye dbandingkan dengan bencana yang akan menimpa diriku nanti."

Selanjutnya Syibli menyatakan :

"Tidak ada yang lebih berat di dalam batinku daripada wang satu dirham yang ku ambil dari seseorang secara aniaya, walaupun untuk itu aku telah bersedekah saribu dirham. Batinku tidak memperolehi ketenangan. Berilah aku air untuk bersuci."

Sahabat-sahabatnya membawa air dan menolong Syibli bersuci, tetapi mereka lupa menyapukan air ke janggutnya dan Syibli terpaksa mengingatkan hal itu kepada mereka.

Sepanjang malam itu Syibli melagukan syair berikut :

Bagi setiap rumah yang Engkau ambil sebagai tempatMu.


Tiada faedahnya pelita untuk menerangi.


Ketika umat manusia harus menunjukkan,


Bukti-bukti mereka kepada Si Hakim dan Raja,


Maka bukti kami, di negeri yang menggentarkan itu, adalah


Keindahan wajahMu yang selalu kami harapkan


Orang-orang telah berkumpul untuk melaksanakan solat jenazahnya. Ia sedang menghadapi ajalnya, tetapi ia masih mengetahui segala sesuatu yang terjadi di sekeliling dirinya.

"Sungguh aneh!" Syibli berrkata. "Orang-orang mati telah datang untuk mensolatkan seorang yang masih hidup."

"Katakanlah : Tiada Tuhan melainkan Allah," mereka berbisik kepada Syibli.

"Kerana tidak sesuatu jua pun selain daripada Dia, bagaimanakah aku dapat mengucapkan sebuah penyangkalan," jawabnya.

"Tidak ada sesuatupun yang dapat menolongmu, ucapkanlah syahadah," mereka mendesak Syibli.

Kemudian seseorang menguatkan suara untuk mendesak Syibli.

"Telah datang pula seorang mati untuk membangunkan seorang yang hidup," kata Syibli.

Beberapa saat berlalu. Kemudian mereka bertanya kepada Syibli :

"Bagaimana halmu?"

"Aku telah kembali kepada Kekasih," jawab Syibli.

Setelah itu ia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Friday, April 6, 2012

Adam Al-Marwani

Pernah diriwayatkan tentang sebahagian karamahnya bahawasanya pada suatu hari Jumaat ketika ia sedang duduk di depan pintu kota tiba-tiba ada seorang lelaki yang ingin mengajak Syeikh Adam untuk bergurau senda. Syeikh itu memperingatkan orang itu agar terus saja meninggalkan tempat itu tanpa mengganggunya. Disebabkan ia tidak senang diganggu orang, terutama pada hari Jumaat. Orang itu terus saja berlalu. Dan di suatu jalan ia ditahan oleh pengawal keselamatan serta ia dipukul sampai hidungnya terluka. Kemudian ia diarak di tengah jalan oleh pengawal keselamatan dengan luka-luka di wajahnya mengeluarkan darah. Orang-orang yang menyaksikan kejadian tersebut berkata :

"Ini adalah terkena doanya Syeikh Adam Al-Marwani."

Ibrahim Al-Khauwash

Abu Ishaq Ibrahim Al-Khauwash dari Samarra adalah seorang sahabat Al-Junaid. Ia termasyhur kerana pengembaraannya yang lama di padang pasir. Ia meninggal dunia di Rayy pada tahun 291 H/804 M.

Pada suatu ketika, sewaktu berada di tengah padang pasir, aku melihat Khidir a.s. dalam rupa seekor burung yang sedang terbang. Setelah mengetahui siapa sebenarnya burung itu, aku segera menundukkan kepalaku. Aku takut kepasrahanku kepada Allah akan berkurang. Seketika itu juga Khidir a.s. menghampiriku dan berkata :

"Seandainya engkau tadi terus memandangku, nescaya aku tidak akan turun menemuimu."

Namun aku mengucapkan salam kepadanya kerana aku takut kepasrahanku kepada Allah akan berkurang.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al-Qusyairi meriwayatkan dari Hamid Al-Aswad berkata :

"Pernah aku berjalan bersama  Ibrahim Al-Khauwash di suatu dusun selama tujuh hari dalam keadaan serba kekurangan. Pada hari ketujuh badanku terasa terlalu letih dan aku segera duduk. Ibrahim Al-Khauwash segera menoleh kepadaku dan bertanya :

"Apakah gerangan yang menyebabkan kamu duduk?"

Aku menjawab : "Aku tidak berupaya untuk meneruskan perjalanan ini."

"Apakah yang lebih kamu senangi air atau makanan?" tanya Ibrahim.

Jawabku : "Air."

"Air ada di belakangmu," jawab Ibrahim.

Ketika aku menoleh ke belakang aku dapati mata air yang jernih airnya dan aku segera mandi dan minum sampai puas. Setelah puas akupun hendak mengambilnya sebagai bekal dalam perjalanan itu, namun Ibrahim berkata :

"Jangan kamu mengambil air itu sebagai bekal, kerana air itu bukan untuk bekal."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibrahim Al-Khauwash bercerita tentang dirinya :

"Pernah aku berjalan di suatu dusun. Ketika aku hendak berteduh di bawah pohon yang berada dekat mata air, tiba-tiba ku dapati ada seekor singa besar yang berjalan dengan pincang sedang menuju ke arahku. Setelah dekat kepadaku ia pun duduk di hadapanku dengan meletakkan tangannya di atas paha. Waktu aku melihat tangan singa itu ku lihat ada luka yang mengeluarkan darah dan nanah. Aku ambilkan ranting kayu dan ku bersihkan nanah dan darah yang ada pada lukanya itu, kemudian aku balut dengan kain. Setelah itu singa itu ku lepas dan menghilang. Namun tidak berapa lama singa itu datang lagi dengan membawa kedua anaknya yang masih kecil sambil memberikan dua potong roti."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selanjutnya Ibrahim Al-Khauwash pun meneruskan ceritanya :

"Pernah aku berjalan di tengah malam untuk menuju ke kota Mekkah. Tiba-tiba datang seekor singa besar datang menerkamku. Hingga timbul rasa takut di hati. Namun aku mendengar suara yang berseru :

"janganlah engkau takut kerana di sekelilingmu dijaga oleh 70 Malaikat."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kata Al-Murta`isy pernah aku mendengar Ibrahim Al-Khauwash bercerita :

"Pernah aku tersesat dalam suatu perjalananku di padang pasir selama beberapa hari. Tiba-tiba ku lihat seorang lelaki datang kepadaku sambil bertanya :

"Adakah kamu tersesat."

Jawabku : "Ya, aku tidak tahu jalan."

Tanya orang itu kemudian : "Mahukah aku tunjukkan jalan."

Kemudian lelaki itu berjalan di depanku beberapa langkah dan segera menghilang. Dan akupun berhasil menemukan jalan yang sebenarnya. Sejak saat itu aku tidak pernah tersesat jalan lagi ataupun menderita lapar dan haus."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibrahim Al-Khauwash pernah juga bercerita :

"Dalam suatu perjalananku di hijaz pernah aku merasa haus hingga badanku lemah. Sedangkan aku mencari-cari air ke sana ke mari namun tidak ku dapati setitispun. Tiba-tiba aku bertemu dengan seorang pemuda kacak yang mengendarai seekor kuda yang hebat pula. Pemuda itu memakai jubah hijau dan serban kuning. Kemudian ia menghulurkan padaku sebuah bekas diperbuat dari emas yang berisi air minum. Setelah ku minum dengan puas pemuda itu menyuruhku membonceng di belakang kenderaannya. Kami berdua mengendarai kudanya sampai di perbatasan kota Madinah. Kemudian ia bertanya kepadaku :

"Apakah yang kau lihat?"

Jawabku : "Kami telah sampai di Madinah."

Kata pemuda tu : "Turunlah di sini dan katakan pada Rasulullah s.a.w. bahawa saudaramu Khidir berkirim salam buat engkau ya Rasulullah."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu aku tersesat di padang pasir. Untuk beberapa lama aku berjalan ke satu arah yang tetap tetapi aku tidak menemui jalan. Berhari-hari lamanya aku kehilangan arah seperti itu sehingga pada akhirnya aku mendengar kokok ayam. AKu kegirangan dan berjalan ke arah datangnya suara kokok ayam tersebut. Tetapi yang ku jumpai adalah seseorang yang segera menyerang dan memukul tengkukku. Pukulan itu sangat menyakitkan.

"Ya Allah," aku berseru, "Beginikah perlakuan mereka terhadap seseorang yang menyerahkan diri kepadaMu?"

Maka terdengarlah olehku sebuah seruan yang ditujukan kepadaku :

"Selama engkau percaya kepadaKu, selama itu pula engkau mulia menurut pandanganKu. Tetapi kerana engkau telah mempercayai kokok seekor ayam, maka terimalah olehmu pukulan itu sebagai hukumanmu."

Badanku masih terasa perit tetapi aku tetap melanjutkan perjalanan.

"Khauwash," terdengar suara, "pukulan orang-orang itu telah mencederakan dirimu, tetapi lihatlah apa yang di hadapanmu itu."

Aku mengangkat kepala dan terlihatlah di depanku kepala orang yang memukulku tadi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku telah bersumpah akan mengembara di padang pasir tanpa bekalan, makanan dan binatang tunggangan. Apabila aku memasuki padang pasir, seorang pemuda mengejarku dan mengucapkan salam.

"Assalamualaikum syeikh," katanya.

Aku berhenti dan ku jawab salamnya. Kemudian tahulah aku bahawa dia beragama Kristian.

"Bolehkah aku berjalan bersamamu?" pemuda itu bertanya.

"Tempat yang ku tuju dilarang untukmu, maka apakah faedahnya bagimu untuk berjalan bersamaku?" jawabku.

"Tidak mengapa," jawabnya. "Mungkin sekali dengan berjalan bersamamu akan membawa keberkatan."

Setelah seminggu berjalan, pada hari yang kelapan pemuda itu berkata kepadaku :

"Wahai pertapa budiman dari kaum Hanafiah, beranikah dirimu untuk meminta sekadar makanan dari Tuhanmu kerana aku merasa lapar?"

"Ya Tuhanku," aku berdoa. "Demi Muhammad s.a.w. janganlah Engkau membuatku malu di depan orang asing ini tetapi turunkanlah sesuatu dengan keghaiban."

Sesaat itu juga terlihatlah olehku sebiji dulang yang penuh dengan roti, ikan panggang, kurma dan sekendi air. Maka duduklah kami untuk memakan hidangan itu.

Kemudian kami meneruskan perjalanan hingga genap satu minggu pula. Pada hari kelapan aku berkata kepada teman seperjalananku itu :

"Wahai rahib, tunjukkanlah kebolehanmu kerana aku telah merasa lapar."

Sambil bersandar pada tongkatnyya, pemuda itu berdoa dengan bibir kumat-kamit. Sesaat itu juga muncul dua buah meja yang setiapnya penuh dengan halwa, ikan, kurma dan sekendi air. Aku kehairanan.

"Makanlah wahai pertapa," pemuda kristian itu berkata kepadaku.

Aku sangat malu memakan hidangan itu.

"Makanlah," pemuda itu mendesak, "sesudah itu akan ku sampaikan kepadamu beberapa khabar gembira."

"Aku tidak mahu makan sebelum engkau menyampaikan khabar gembira itu," jawabku.

"Yang pertama adalah bahawa aku akan melepaskan ikatanku ini," katanya.

Setelah berkata demikian dilepaskannya tali pinggang yang sedang dikenakannya. Kemudian dia meneruskan kata-katanya :

"Aku bersaksi, tiada Tuhan kecuali Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah. Khabar gembira yang kedua adalah sesungguhnya doaku tadi adalah : `Ya Allah, demi orang tua yang mulia pada pandanganMu ini, orang tua penganut agama yang benar ini, berilah aku makanan agar aku tidak mendapat malu di hadapannya.` Sesungguhnya hal ini terjadi kerana berkatmu juga."

Wednesday, April 4, 2012

Abu Hamid Ahmad Bin Khazruya Al-Balkhi

Abu Hamid Ahmad Bin Khazruya Al-Balkhi, adalah seorang yang terkenal di kota Balkh, memperisterikan seorang wanita yang soleh anak pemimpin kota itu. Di antara sahabat rapatnya ialah Hatim As-Ashamm dan Abu Yazid Al-Busthami. Ia pergi ke Nishapur dan meninggal dunia tahun 240 H/864 M dalam usia 95 tahun.

Seorang pencuri berjaya masuk ke dalam rumah Ahmad Bin Khazruya. Setiap sudut telah digelidahnya tetapi tak satupun yang ditemuinya. Dengan rasa putus asa ia hendak meninggalkan tempat itu, Ahmad memanggilnya :

"Anak muda, ambillah baldi itu, timbalah air di perigi itu, kemudian bersucilah dan solat. Jika nanti aku perolehi sesuatu, akanku berikan kepadamu supaya engkau tidak meninggalkan rumah ini dengan tangan kosong."

Anak muda itu berbuuat seperti yang disarankan oleh Ahmad. Ketika hari telah siang, seorang lelaki datang membawa 100 dinar emas untuk Syeikh Ahmad.

"Ambillah wang ini sebagai ganjaran solatmu malam tadi," Ahmad berkata kepada pencuri itu.

Sesaat itu juga tubuhnya gementar, ia menangis dan berkata :

"Aku telah memilih jalan yang salah. Baru satu malam aku berbakti kepada Allah, sudah begitu banyak kurnia yang dilimpahkanNya kepadaku."

Pencuri itu bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Ia tidak mahu menerima emas tersebut dan kemudian ia menjadi salah seorang murid Ahmad.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu ketika, Ahmad memakai pakaian compang-camping singgah di satu tempat pengajian.

"Orang ini bukan tinggal di tempat pengajian ini," mereka berbisik kepada tuan guru mereka.

Pada suatu hari Ahmad pergi ke perigi dan timbanya erjatuh. Orang yang terlihat kejadian itu memarahi Ahmad dan segera memberitahu kepada tuan guru mereka.

Ahmad menyarankan kepada ketua mereka :

"Bacalah Al-Fatihah agar timba yang terjatuh itu keluar dari dalam perigi itu."

"Pelik sungguh cadanganmu itu," kata tuan guru dengan perasaan hairan.

"Jika engkau tidak mahu, izinkanlah aku yang membacakannya."

Guru itu mengizinkan Ahmad membaca Al-Fatihah dan timba itu muncul ke permukaan air. Menyaksikan kejadian ini tuan guru bertanya dengan sangat hairan :

"Anak muda, siapakah engkau ini sebenarnya sehingga gudang gandumku hanya seperti dedak dibandingkan dengan sebutir gandummu?"

Ahmad menjawab :

"Beritahu kepada anak muridmu agar mereka menghormati orang yang sedang bermusafir."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seorang lelaki menemui Ahmad dan berkata :

"Aku sakit dan miskin. Ajarlah aku satu perkara agar aku terlepas dari ujian-ujian ini."

"Tuliskanlah setiap macam usaha yang engkau ketahui di atas secarik kertas . Simpanlah kertas itu di dalam satu bekas dan bawalah bekas itu kepadaku," jawab Ahmad.

Lelaki itu menuliskan setiap macam usaha pada sehelai kertas lalu ia masukkan ke dalam sebuah bekas, kemudian diberikannya kepada Ahmad. Ahmad memasukkan tangannya ke dalam bekas itu dan mengeluarkan secarik kertas. Ternyata di atas kertas itu tertulis perkataan "merompak".

"Engkau harus menjadi seorang perompak," kata Ahmad.

Lelaki itu merasa hairan, namun ia tetap mengikuti kata-kata Ahmad lalu ia meninggalkan tempat itu dan bekerjasama dengan sekumpulan perompak.

"Aku ingin bekerjasama dengan kamu. Aku akan melakukan segala suruhanmu," dia memohon.

"Ada satu peraturan yang harus engkau taat iaitu apa pun yang kami perintahkan engkau harus kerjakan," kata ketua perompak itu.

"Akanku ikuti perintah kamu," ia meyakinkan ketua perompak itu.

Telah beberapa hari ia mengikut kumpulan perompak itu. Pada suatu hari lalulah sebuah kafilah. Perompak-perompak itu merompak kafilah itu dan membawa salah seorang anggota kafilah itu kepadanya.

"Penggal kepalanya," perintah mereka.

Lelaki ini tergamam. Hatinya berkata :

"Ketua perompak ini telah banyak membunuh manusia, lebih baik aku bunuh dia saja daripada saudagar ini."

"Jika kamu ingin terus bekerja dengan kami, ikutilah perintah kami. Jika tidak pergilah cari pekerjaan lain," ketua perompak itu mengugutnya.

"Jika untuk mentaati perintah, maka perintah Allah yang patut ditaati bukan ketua perompak ini," fikir lelaki itu.

Lantas dia menghunus pedangnya dan memenggal kepala ketua perompak itu. Apabila melihat kejadian ini, perompak-perompak lain segera melarikan diri dan meninggalkan segala harta rampasan tadi. Saudagar itu memberikannya emas dan perak maka ia dapat hidup dengan senang kemudiannya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu ketika Ahmad menjamu seorang tamunya. Untuk itu Ahmad menyalakan 70 batang lilin. Melihatkan layanan yang mewah itu tamunya itu menyindirnya.

"Aku tak senang menyaksikan semua ini. Pembaziran ini tidak sesuai untuk seorang sufi."

"Jika demikian padamkanlah lilin-lilin yang telahku nyalakan bukan kerana Allah," jawab Ahmad.

Sepanjang malam itu tamunya tadi sibuk memadamkan lilin itu tetapi tidak satu pun di antara ke 70 lilin itu dapat dipadamkannya. Keesokan harinya Ahmad berkata kepada tamunya  itu :

"Mengapa engkau merasa hairan. Mari, ikuti aku, akanku tunjukkan hal yang benar-benar menakjubkan."

Lalu mereka pergi dan sampai ke pintu sebuah gereja. Ketika melihat Ahmad beserta sahabat-sahabatnya, pengurus gereja itu mempersilakan mereka masuk. Kemudian ia mempersiapkan jamuan di atas meja dan mempersilakan Ahmad makan.

"Orang yang sedang bermusuhan tidak akan makan bersama," kata Ahmad.

"Jika demikian Islamkanlah kami," jawab ketua gereja itu.

Ahmad mengIslamkan mereka yang semuanya berjumlah 70 orang itu. Pada malam itu Ahmad bermimpi dan di dalam mimpi itu Allah berkata kepadanya :

"Ahmad,engkau telah menyalakan 70 lilin untukKu dan kerana itu untukmu telahKu nyalakan 70 jiwa dengan api iman."

Tuesday, April 3, 2012

Ahmad Bin Harb An-Nisaburi

Ahmad Bin Harb An-Nisaburi adalah seorang pertapa yang terkenal di Nishapur Ia seorang perawi hadis yang dapat dipercayai dan pernah ikut berjuang di dalam berbagai perang. Ia datang ke Baghdad pada masa Ahmad Bin Hambal memberikan pengajaran di kota tersebut. Ia meninggal dunia pada tahun 234 H/849 M dalam usia 85 tahun.

Ahmad Bin Harb mempunyai seorang putera yang masih kecil. Putera ini diajarnya untuk percaya kepada Allah.

Ahmad Bin Harb berkata kepada puteranya itu :

"Setiap kali engkau menginginkan makanan atau apa saja, pergilah ke tingkap itu dan katakanlah : "Ya Allah, aku minta....."

Setiap kali anaknya pergi ke tingkap itu, kedua orang tuanya segera menyiapkan segala sesuatu yang diinginkannya.

Pada suatu hari ketika kedua orang tuanya tidak ada di rumah, anak mereka merasa lapar. Seperti biasa dilakukannya, ia pun pergi ke tingkap itu dan berkata :

"Ya Allah, aku minta roti."

Seketika itu juga diterimanya roti itu. Ketika kedua orang tuanya pulang, mereka melihat anak mereka sedang duduk memakan roti.

"Dari manakah engkau memperolehi roti ini?" mereka bertanya.

"Dari Dia yang telah memberikan roti ini kepadaku setiap hari," jawabnya.

Kedua orang tua itu pun sedar bahawa anak mereka telah melalui jalan orang soleh.