Wednesday, September 19, 2012

Abu Hafshin Amr Bin Salam Al-Haddad

Abu Hafshin Amr Bin Salam Al-Haddad, seorang tukang besi di kota Nishapur. Ia berkunjung ke Baghdad dan berjumpa dengan Junaid yang kagum menyaksikan  pengabdiannya kepada Allah.Abu Hafshin juga pernah berjumpa dengan Asy-Syibli dan tokoh-tokoh sufi lainnya di kota Baghdad. Setelah kembali ke Nishapur ia meneruskan usahanya seperti dahulu dan meninggal dunia di kota ini pada tahun 265 H/879 M.

Abu Hafshin bertekad hendak ke tanah suci menunaikan ibadah haji, tetapi ia tidak dapat membaca dan berbahasa Arab. Ketika sampai di kota Baghdad, pelajar-pelajar kerohanian saling berbisik.

"Sangatlah memalukan apabila syeikh dari segala syeikh di Khurasan masih memerlukan jurubahasa untuk memahami bahasanya sendiri."

Junaid menyuruh murid-muridnya untuk menyambut kedatangan Abu Hafshin. Abu Hafshin sendiri menyedari apa yang difikirkan oleh "para sahabat" itu dan segera ia berkata dalam bahasa Arab sehingga orang-orang Baghdad itu kagum akan kefasihan bahasa Arabnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Hafshin menanamkan rasa hormat dan disiplin ke dalam diri sahabat-sahabatnya. Tidak seorang pun di antara murid-muridnya yang berani duduk di hadapannya, mereka selalu berdiri dan tidak akan duduk sebelum disuruh. Abu Hafshin sendiri duduk di antara mereka bagaikan seorang sultan.

Melihat hal ini Junaid menegurnya :

"Engkau mengajar sahabat-sahabatmu tingkah laku seperti sultan."

"Engkau hanya melihat apa yang terlihat, tetapi bukankah dari alamat surat saja kita dapat menduga apa yang tertulis di dalamnya?" jawab Abu Hafshin.

Setelah itu, Abu Hafshin menyambung :

"Suruhlah sahabat-sahabatmu memasak kaldu dan hhalwa."

Junaid lalu menyuruh seorang muridnya memasak kaldu dan halwa. Setelah selesai, Abu Hafshin berkata :

"Panggilah seorang hamba dan letakkan makanan ini ke atas kepalanya. Kemudian suruh ia berjalan sambil membawa makanan ini sampai letih dan tidak sanggup meneruskan perjalanan. Di hadapan rumah yang ia berhenti, suruh ia panggil tuan rumah itu. Dan siapa saja yang membuka pintu, berikan kaldu dan halwa kepadanya."

Hamba itu mematuhi segala perintah itu. Ia pun berjalan sehingga keletihan dan tidak sanggup lagi meneruskannya. Makanan-makanan itu diletakkannya di depan sebuah rumah, kemudian ia memanggil penghuni rumah itu. Ternyata tuan rumah itu adalah seorang lelaki tua, ia menahut :

"Jika engkau membawa kaldu dan halwa, barulah ku bukakan pintu."

"Aku membawa kaldu dan halwa," jawab hamba itu.

"Masuklah," lelaki itu mempersilakannya setelah mebuka pintu.

Kemudian hamba itu menceritakan kejadian itu.

"Aku sangat hairan. Aku bertanya kepada lelaki tua itu : "Apakah yang telah terjadi? Bagaiman engkau boleh mengetahui bahawa aku membawa kaldu dan halwa?"

Orang itu menjawab :

"Ketika aku sedang berdoa malam tadi, aku teringat bahawa anak-anakku sudah lama meminta kaldu dan halwa kepadaku. Aku tahu bahawa doaku itu akan dimakbulkan."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ketika sampai di kota Mekah, Abu Hafshin melihat sekumpulan manusia miskin dan meminta-minta. Ia ingin sekali memberikan sesuatu kepada mereka tetapi tiada memiliki sesuatu pun, oleh kerana itu ia sangat gelisah. Kegelisahan ini begitu mencengkam hatinya dan ia tidak dapat meredakannya, akhirnya dikutipnya sebiji batu dan ia berteriak :

"Demi keangunganMu, jika Engkau tidak memberikan sesuatu kepadaku, akan ku hancurkan semua lampu-lampu di dalam masjid itu!"

Kemudian dia mengeliklingi Kaabah. Tidak lama kemudian datang seorang lelaki menghampiri dan memberinya sepundi emas yang kemudian dibahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin tersebut.

Bersambung....................

Thursday, September 13, 2012

Habib Bin Muhammad Al-`Ajami Al-Basri

Habib Bin Muhammad Al-`Ajami Al-Basri, seorang Parsi yang menetap di Basrah. Ia adalah seorang ahli hadis terkenal yang merawikan hadis-hadis dari Hassan Al-Basri, Ibnu Sirin dan lain-lain tokoh yang dipercayai.

Dia bertaubat dari kehidupan yang jahil dan berfoya-foya disebabkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh Hassan sangat menyentuh hatinya. Habib Al-`ajami sering mengikut pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh Hassan sehingga akhirnya ia menjadi salah seorang sahabat beliau yang paling akrab.

Pada suatu hari seorang wanita tua datang kepada Habib, dia merebahkan dirinya di depan Habib dengan sedih hati.

"Aku mempunyai seorang putera yang telah lama pergi meninggalkanku. Aku tidak sanggup lebih lama lagi berpisah dengannya, berdoalah kepada Allah," mohonnya kepada Habib. "Semoga berkat doamu, Allah mengembalikan puteraku itu kepadaku."

"Adakah engkau memiliki wang?" tanya Habib kepada wanita itu.

"Aku mempunyai dua dirham," jawabnya.

"Berikan wang tersebut kepada orang-orang miskin!"

Kemudian Habib membaca sebuah doa lalu ia berkata kepada wanita itu:

"Pulanglah puteramu telah kembali."

Belum lagi wanita itu sampai ke rumah, dilihat anaknya sedang menantikannya.

"Wahai! Anakku telah kembali!" wanita itu berseru.

Kemudian dibawanya anak itu menemui Habib.

"Apakah yang telah engkau alami?" tanya Habib kepada putera wanita itu.

"Aku sedang berada di Kirmani, guruku menyuruhku membeli daging. Ketika daging itu ku beli dan aku hendak pulang kepada guruku, tiba-tiba bertiuplah angin kencang, tubuhku dibawa terbang dan terdengar olehku satu suara yang berkata: "Wahai angin, demi doa Habib dan dua dirham yang telah disedekahkan kepada orang-orag miskin, pulangkanlah ia ke rumahnya sendiri."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada tanggal 8 Zulhijjah, Habib kelihatan berada di kota Basrah dan pada keesokan harinya di Padang Arafah. Di waktu yang lain, bencana kelapran melanda koa Basrah. Kerana itu, dengan berhutang Habib membeli banyak bahan-bahan makanan dan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang miskin. Setiap hari Habib menggulung tempat wangnya dan menyimpan di bawah lantai. Apabila pedagang datang untuk menagih hutang, barulah bekas itu dikeluarkannya. Sungguh ajaib, ternyata bekas itu sudah penuh dengan kepingan-kepingan dirham. Dari situ dijelaskannya semua hutang-hutangnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rumah Habib terletak di sebuah persimpangan jalan di kota Basrah. Ia mempunyai sebuah baju bulu yang selalu dipakainya baik di musim panas mahupun di musim sejuk. Sekali peristiwa, ketika Habib hendak bersuci, baju itu ditanggalkannya dan dilemparkannya ke atas tanah.

Tidak berapa lama kemudian Hassan Al-Basri melalui tempat itu. Melihat baju Habib yang terletak di atas jalan, ia berkata:

"Dasar Habib seorang Barbar, tidak peduli berapa harga baju bulu ini! Baju seperti ini tidak boleh dibiarkan saja di tempat ini, akan hilang nanti."

Hassan berdiri di tempat itu untuk menjaga baju tersebut. Tidak lama kemudian Habib pun kembali.

"Wahai imam kaum Muslimin," Habib menegur Hassan setelah memberi salam kepadanya, "mengapakah engkau berdiri di sini?"

"Tahukah engkau bahawa baju-baju seperti ini tidak boleh ditinggaljan di tempat begini? Akan hilang nanti. Katakan, kepada siapakah engkau memberi baju inii?"

"Ku berikan kepada Dia, yang selanjutnya memberikannya kepadamu," jawab Habib.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari Hassan berkunjung ke rumah Habib. Habib memberikan kepadanya dua potong roti gandum dan sedikit garam. Hassan sudah bersiap-siap hendak menyantap hidangan itu, tetapi seorang pengemis datang dan Habib menyerahkan kedua potong roti berserta garam itu kepadanya.

Hassan merasa hairan lalu berkata:

"Habib, engkau memang seorang manusia budiman. Tetapi alangkah baiknya seandainya engkau memiliki sedikit pengetahuan . Engkau mengambil roti lalu memberikan semuanya kepada seorang pengemis. Seharusnya engkau memberikan sebahagian kepada si pengemis dan sebahagian lagi kepada tetamumu."

Habib tidak memberikan jawapan.

Tidak lama kemudian seorang budak datang sambil menjunjung sebuah dulang. Di atas dulang tersebut ada daging kambing panggang, kuih yang manis-manis dan wang perak 500 dirham. Budak itu menyerahkan dulang tersebut kepada Habib. Kemudian Habib membahagi-bahagikan wang tersebut kepada orang-orang miskin dan menempatkan dulang tersebut di samping Hassan.

Ketika Hassan memakan daging panggang itu, Habib berkata kepadanya:

"Guru, engkau adalah seorang manusia budiman, tetapi alangkah baik seandainya engkau memiliki sedikit keyakinan. Pengetahuan harus disertai dengan keyakinan."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari ketika tentera-tentera Hajjaj mencari-cari Hassan, ia sedang bersembunyi di dalam pertapaan Habib.

"Apakah engkau telah melihat Hassan pada hari ini?" tanya mereka kepada Habib.

"Ya, aku telah melihatnya," jawab Habib.

"Di manakah Hassan pada saat ini?"

"Di dalam pertapaan ini."

Para tentera tersebut memasuki pertapaan Habib dan menggeledahnya, namun mereka tidak bertemu dengan Hassan.

"Tujuh kali tubuhku tersentuh oleh mereka, namun mereka tidak melihat diriku," Hassan mengesahkan.

Ketika meninggalkan pertapaan itu Hassan mencela Habib:

"Habib, engkau adalah seorang murid yang tidak berbakti kepada guru. Engkau telah menunjukkan tempat persembunyianku."

"Guru, kerana aku berterus terang itulah engkau dapat selamat. Jika tadi aku berdusta, nescaya kita berdua sama-sama tertangkap."

"Ayat-ayat apakah yang telah engkau bacakan sehingga mereka tidak melihat diriku?" tanya Hassan.

"Aku membaca Ayat Kursi 10 kali, Rasul Beriman 10 kali, dan katakanlah, Allah itu Esa 10 kali. Setelah itu aku berkata: "Ya Allah, telahku berikan Hassan kepadaMu dan oleh kerana itu jagalah dia."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu ketika Hassan ingin pergi ke suatu tempat . Lalu menyusuri tebing-tebing di pinggir Sungai Tigris sambil melihat-lihat di sekitarnya. Tiba-tiba Habib muncul di tempat itu.

"Imam, mengapakah engkau berada di sini?" Habib bertanya.

"Aku ingin pergi ke suatu tempat namun perahu belum juga tiba," jawab Hassan.

"Guru, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu? Aku telah mempelajari segala hal yangku ketahui dari dirimu. Buanglah rasa iri kepada orang-orang lain dari dalam dadamu. Tutuplah matamu dari kesenangan-kesenangan dunia. Sedarilah bahawa penderitaan adalah sebuah pemberian yang sangat berharga dan sedarilah bahawa Allah menentukan segala sesuatu. Setelah itu turunlah dan berjalanlah di atas air."

Selesai berkata demikian Habib memijakkan kai ke permukaan air dan meninggalkan tempat itu. Melihat kejadian ini, Hassan merasa hairan dan jatuh pengsan. Ketika ia sedar, orang-orang bertanya kepadanya:

"Wahai Imam kaum Muslimin, apakah yang telah terjadi terhadap dirimu?"

"Baru saja muridku Habib mencela diriku, setelah itu ia berjalan di atas air dan meninggalkan diriku sedang aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jika di Akhirat nanti sebuah suara menyerukan: "Laluilah jalan yang berada di atas api yang menyala-nyala" sedang hatiku tidak yakin seperti sekarang ini, apakah dayaku?"

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu hari Hassan bertanya kepada Habib:

"Habib, bagaimanakah engkau mendapatkan karamah-karamah itu?"

Habib menjawab:

"Dengan memutihkan hatiku sementara engkau menghitamkan kertas."

Hassan berkata:

"Pengetahuanku tidak memberi manfaat kepada diriku sendiri, tetapi memberi manfaat kepada orang lain."

Friday, September 7, 2012

Abu Ali Al-Fuzail Bin `Iyaz Al-Talaqani

Abu Ali Al-Fuzail Bin Iyaz At-Talaqani dilahirkan di Khurasan. Diriwayatkan bahawa sewaktu meningkat remaja, Fuzail adalah seorang pencuri. Setelah bertaubat, Fuzail pergi ke Kufah kemudian ke Mekah, di mana ia tinggal beberapa tahun lamanya hingga ia meninggal pada tahun 187H/803M. Nama Fuzail cukup terkenal sebagai seorang ahli hadis, dan keberaniannya berdakwah kepada Harun Ar-Rasyid menjadi sebutan orang.

Pada suatu malam, Harun Ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal kesayangannya. Harun Ar-Rasyid berkata kepada Fazl:

"Malam ini bawalah aku kepada seseorang yang boleh menunjukkan kepadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah jemu dengan segala kebesaran dan kebanggan."

Fazl membawa Harun Ar-Rasyid ke rumah Sufyan Al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam Sufyan menyahut:

"Siapakah itu?"

"Pemimpin jaum Muslimin," jawab Fazl.

Sufyan berkata:

"Mengapakah sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja kepadaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?"

Mendengar ucapan tersebut Harun Ar-Rasyid berkata:

"Ia bukan orang yangku cari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain."

"Jika demikian , Fuzail Bin `Iyaz adalah orang yang engkau cari. Pergilah kepadanya."

Kemudian Sufyan membacakan ayat:

"Apakah orang-orang yang perbuat aniaya menyangka bahawa kami akan menyamakan mereka dengan orang-orang beriman serta melakukan perbuatan-perbuatan yang soleh?"

Harun Ar-Rasyid mengatakan:

"Seandainya aku menginginkan nasihat-nasihat yang baik nescaya ayat itu telah mencukupi."

Kemudian mereka mengetuk pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya:

"Siapakah itu?"

"Pemimpin kaum Muslimin," jawab Fazl.

"Apakah urusannya dengan aku dan apakah urusanku dengan dia?" tanya Fuzail.

"Bukankah suatu kewajipan untuk mematuhi orang yang memegang kuasa?" se;a Fazl.

"Janganlah kamu menggangguku," seru Fuzail.

"Perlukah aku menolak pintu dengan kekuasaanku sendiri atau dengan perintah sultan?" tanya Fazl.

"Tidak ada sesuatu hal yang disebut kekuasaan," jawab Fuzail. "Jika engkau secara paksa menceroboh masuk, engkau tahu apa yang engkau lakukan."

Harun Ar-Rasyid melangkah masuk. Begitu Harun menghampirinya, Fuzail meniup lampu sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah sultan. Harun Ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata:

"Betapa lembut dan halus tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!"

Setelah berkata demikian Fuzail berdiri dan berdoa. Harun Ar-Rasyid merasa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya.

"Katakanlah sesuatu kepadaku," Harun bermohon kepada Fuzail.

Fuzail mengucapkan salam kepadanya dan berkata:

"Sebelum ini, bapa saudara Nabi Muhammad, pernah meminta kepada Baginda: "Jadikanlah aku pemimpin bagi sebahagian umat manusia." Nabi menjawab: "Pak cik, untuk sesaat aku pernah mengangkatmu menjadi pemimpin dirimu sendiri." Dengan jawapan ini yang dimaksudkan Nabi adalah: Sesaat mematuhi Allah adalah lebih baik daripada seribu tahun dipatuhi oleh umat manusia. Kemudian Nabi menambahkan lagi: "Kepimpan akan menjadi sumber penyesalan pada hari kebangkitan nanti."

"Ceritakanlah," Harun Ar-Rasyid meminta.

"Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar Bin Abdul Aziz memanggil Salim Bin Abdullah, Raja` Bin Hayat dan Muhammad Bin Kaab. Umar berkata kepada mereka: "Hatiku sangat gelisah kerana ujian ini. Apakah yang harusku lakukan? Aku tahu bahawa kedudukan yang tinggi ini adalah satu ujian walaupun orang-orang lain menganggapnya sebagai suatu kurnia. Salah seorang diantara ketiga sahabat Umar itu berkata: "Jika engkau ingin terlepas dari hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah setiap Muslim yang lanjut usia sebagai ayahmu sendiri, setiap Muslim yang remaja sebagai saudaramu sendiri, setiap Muslim yang masih kanak-kanak sebagai anakmu sendiri, dan perlakukanlah mereka sebagaimana seharusnya seorang memperlakukan ayahnya, saudaranya dan anak-anaknya.

"Ceritalah lagi!" Harun Ar-Rasyid meminta.

"Anggaplah negeri Islam sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintah-perintahNya. Berhati-hatilah dan bersikaplah secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia akan menarik pakaianmu dan akan memberi kesaksian yang memberatkan dirimu."

Harun Ar-Rasyid menangis dengan sangat kuatnya sehingga nampaknya ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini Fazl menyentak Fuzail:

"Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum Muslimin."

"Diamlah Haman! Engkau dan orang-orang yang seperti engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yangku lakukan ini suatu pembunuhan?"

Mendengar kata-kata Fuzail ini tangisan Harun Ar-Rasyid semakin menjadi-jadi.

"Ia menyebutmu Haman," kata Harun Ar-Rasyid memandang Fazl. "Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun."

Kemudian Harun bertanya kepada Fuzail:

"Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?"

"Ya," jawab Fuzail, "hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang ini celakalah aku!"

"Yangku maksudkan adalah hutang kepada manusia, Fuzail," Harun menegaskan.

"Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh-kesah yang harusku sampaikan kepada hamba-hambaNya."

Kemudian Harun Ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi 1000 dinar di hadapan Fuzail sambil berkata:

"Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku."

Tetapi Fuzail mengutuknya:

"Wahai pemimpin kaum Muslimin, nasihat-nasihat yangku sampaikan kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan salah dan mengulangi kezaliman."

"Apakah perbuatan yang salah telahku lakukan?" tanya Harun Ar-Rasyid.

"aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telahku katakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun."

Setelah berkata demikian, Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.

"Benar-benar seorang manusia hebat!" Harun Ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fuzail. "Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan dunia ini terlalu kecil pada pandangannya."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu hari Fuzail memangku anak yang berumur empat tahun. Tanpa disengaja bibir Fuzail menyentuh pipi anak itu sebagaimana yang sering dilakukan seorang ayah kepada anaknya.

"Apakah ayah cinta kepadaku?" anak itu bertanya kepada Fuzail.

"Ya," jawab Fuzail.

"Apakah ayah cinta kepada Allah?"

"Ya."

"Berapa banyakkah hati ayah miliki?"

"Satu," jawab Fuzail.

"Dapatkah ayah mencintai dua hal dengan satu hati?" anaknya meneruskan pertanyaannya.

Fuzail segera sedar bahawa berkata-kata itu bukanlah anaknya sendiri. Sesungguhnya kata-kata itu adalah sebuah petunjuk Ilahi. Kerana takut dimurkai Allah, Fuzail memukul-mukulkan kepalanya sendiri dan memohon ampun kepadaNya. Ia memutuskan kasih sayang kepada si anak kemudian dicurahkan kepada Allah semata-mata.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari Fuzail sedang berada di Padang Arafah. Semua jemaah yang berada di sana menangis, meratap, menyerahkan diri dan memohonkan ampun dengan segala kerendahan hati.

"Maha Besar Allah!" seru Fuzail. "Jika manusia ramai ini serentak menghadap kepada seseorang dan mereka semua meminta sekeping wang perak kepadanya, apakah yang dilakukannya? Apakah ornag itu akan mengecewakan manusia-manusia yang banyak ini?"

"Tidak!" orang ramai menjawab.

"Jadi," Fuzail melanjutkan. "Sudah tentu bagi Allah Yang Maha Besar untuk mengampunkan kita semua adalah lebih mudah dariapada orang tadi untuk memberikan sekeping wang perak. Dia adalah Yang Maha Kaya di antara yang kaya, dan kerana itu sangat besar harapan kita bahawa Dia akan mengamunkan kita semua."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Putera Fuzail menderita penyakit susah hendak buang air kecil. Fuzail mendekati anaknya dan mengangkat kedua tangannya sambil berdoa:

"Ya Allah, demi cintaku kepadaMu sembuhkanlah ia dari penyakit ini."

Belum sempat Fuzail bangkit dari duduknya, anaknya telah segar bugar kembali.

Fuzail mempunyai dua orang anak perempuan. Menjelang akhir hayatnya Fuzail menyampaikan wasiat terakhir kepada isterinya:

"Apabila aku mati bawalah anak-anak kita ke gunung Jabal Qubais. Di sana hadapkan wajahmu dan berdoalah kepada Allah: "Ya Allah, Fuzail menyuruhku untuk menyampaikan pesanannya kepadaMu ketika dia hidup kedua anak-anak yang tidak berdaya ini telahku lindungi dengan sebaik-baiknya. Tetapi setelah Engkau mengurungku di dalam kubur, mereka ku serahkan kepadaMu kembali."

Setelah Fuzail dikembalikan, isterinya melakukan seperti yang dipesankan kepadanya. Ia pergi ke puncak gunung Jabal Qubais membawa kedua anak perempuannya. Kemudian ia berdoa kepada Allah sambil menangis dan meratap. Kebetulan pada saat itu seorang raja dari negeri Yaman bersama kedua puteranya melalui tempat itu. Menyaksikan mereka yang menangis dan meratap, raja itu bertanya:

"Apakah kemalangan yang telah menimpa diri kamu?"

Isteri Fuzail menerangkan keadaan mereka. Kemudian raja berkata:

"Jika kedua puterimu ku ambil untuk kedua puteraku ini dan tiap-tiap seorang mereka ku berikan 10 000 dinar sebagai mas kahwinnya, apakah engkau merasa senang hati?"

"Ya," jawab si ibu.

Raja itu segera mempersiapkan usungan, permaidani-permaidani dan kain dari benang emas kemudian membawa ibu itu berserta kedua puterinya ke negeri Yaman.

Abu Sulaiman Daud Bin Nushair Ath-Tha`i

Abu Sulaiman Daud Bin Nushair Ath-Tha`i dari Kufah adalah seorang yang sangat termasyhur dari segi kepandaian. Ia pernah menjadi murid Abu Hanifah, dan setelah diperkenalkan dengan jalan sufi oleh Habib Ar-Ra`i, ia membuang semua buku-buku yang dimilikinya ke sungai Euphrat. Ia meninggal dunia antara tahun 160 dan 165 H/777 dan 78 M.

Harun Ar-Rasyid meminta Abu Yusuf supaya menghantarnya ke rumah Daud. Maka pergilah mereka ke rumah Daud tetapi tidak dibenarkan masuk. Abu Yusuf memohon ibu Daud supaya mahu memujuk anaknya.

"Terimalah mereka," ibunya memujuk Daud.

"Apakah urusanku dengan penduduk dunia dan orang-orang yang berdosa?" jawab Daud tidak mahu mengalah.

"Demi hakku yang telah menyusuimu, aku minta kepadamu, izinkanlah mereka masuk!" desak ibunya.

Maka berserulah Daud :

"Ya Allah, Engkau telah berkata :"Patuhilah ibumu, kerana keredhaanKu adalah keredhaannya." Jika tidak demikian, apakah perluku kepada mereka?"

Akhirnya Daud bersedia menerima mereka. Harun dan Yusuf masuk dan duduk. Daud memberikan penjelasannya dan Harun menangis tersedu-sedu. Ketika hendak kembali ke istana, Harun meletakkan sekeping wang emas sambil berkata:

"Wang ini adalah halal."

"Ambillah wang itu kembali," kata Daud. "Aku tidak memerlukan wang itu. Aku telah menjual sebuah rumah ku terima sebagai warisan yang halal dan hidup dengan penjualan itu. Aku telah bermohon kepada Allah, jika wang itu telah habis, agar Dia mencabut nyawaku, sehingga aku tidak memerlukan bantuan dari seorang manusia pun. Aku berkeyakinan bahawa Allah telah mengabulkan permohonanku itu."

Harun Ar-Rasyid dan Abu Yusuf kembali ke istana. Kemudian Abu Yusuf menemui orang yang diamanahkan menjaga wang itu oleh Daud dan bertanya:

"Banyak manakah wang Daud yang tinggal?"
"Dua dirham," jawab orang itu. "Setiap hari Daud membelanjakan satu sen wang perak."

Abu Yusuf membuat perhitungan. Beberapa hari kemudian di dalam masjid di depan semua jemaah ia mengumunkan:

"Hari ini Daud meninggal dunia."

Setelah diselidiki ternyatalah bahawa kata-kata Abu Yusuf itu benar.

"Bagaimanakah engkau mengetahui tentang kematian Daud?" orang ramai bertanya kepada Abu Yusuf.

"Aku telah mengira bahawa pada hari ini Daud tidak mempunyai wang lagi. Aku tahu bahawa doa Daud pasti dimakbulkan Allah," jawab Abu yusuf.