Friday, April 6, 2012

Ibrahim Al-Khauwash

Abu Ishaq Ibrahim Al-Khauwash dari Samarra adalah seorang sahabat Al-Junaid. Ia termasyhur kerana pengembaraannya yang lama di padang pasir. Ia meninggal dunia di Rayy pada tahun 291 H/804 M.

Pada suatu ketika, sewaktu berada di tengah padang pasir, aku melihat Khidir a.s. dalam rupa seekor burung yang sedang terbang. Setelah mengetahui siapa sebenarnya burung itu, aku segera menundukkan kepalaku. Aku takut kepasrahanku kepada Allah akan berkurang. Seketika itu juga Khidir a.s. menghampiriku dan berkata :

"Seandainya engkau tadi terus memandangku, nescaya aku tidak akan turun menemuimu."

Namun aku mengucapkan salam kepadanya kerana aku takut kepasrahanku kepada Allah akan berkurang.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al-Qusyairi meriwayatkan dari Hamid Al-Aswad berkata :

"Pernah aku berjalan bersama  Ibrahim Al-Khauwash di suatu dusun selama tujuh hari dalam keadaan serba kekurangan. Pada hari ketujuh badanku terasa terlalu letih dan aku segera duduk. Ibrahim Al-Khauwash segera menoleh kepadaku dan bertanya :

"Apakah gerangan yang menyebabkan kamu duduk?"

Aku menjawab : "Aku tidak berupaya untuk meneruskan perjalanan ini."

"Apakah yang lebih kamu senangi air atau makanan?" tanya Ibrahim.

Jawabku : "Air."

"Air ada di belakangmu," jawab Ibrahim.

Ketika aku menoleh ke belakang aku dapati mata air yang jernih airnya dan aku segera mandi dan minum sampai puas. Setelah puas akupun hendak mengambilnya sebagai bekal dalam perjalanan itu, namun Ibrahim berkata :

"Jangan kamu mengambil air itu sebagai bekal, kerana air itu bukan untuk bekal."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibrahim Al-Khauwash bercerita tentang dirinya :

"Pernah aku berjalan di suatu dusun. Ketika aku hendak berteduh di bawah pohon yang berada dekat mata air, tiba-tiba ku dapati ada seekor singa besar yang berjalan dengan pincang sedang menuju ke arahku. Setelah dekat kepadaku ia pun duduk di hadapanku dengan meletakkan tangannya di atas paha. Waktu aku melihat tangan singa itu ku lihat ada luka yang mengeluarkan darah dan nanah. Aku ambilkan ranting kayu dan ku bersihkan nanah dan darah yang ada pada lukanya itu, kemudian aku balut dengan kain. Setelah itu singa itu ku lepas dan menghilang. Namun tidak berapa lama singa itu datang lagi dengan membawa kedua anaknya yang masih kecil sambil memberikan dua potong roti."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selanjutnya Ibrahim Al-Khauwash pun meneruskan ceritanya :

"Pernah aku berjalan di tengah malam untuk menuju ke kota Mekkah. Tiba-tiba datang seekor singa besar datang menerkamku. Hingga timbul rasa takut di hati. Namun aku mendengar suara yang berseru :

"janganlah engkau takut kerana di sekelilingmu dijaga oleh 70 Malaikat."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kata Al-Murta`isy pernah aku mendengar Ibrahim Al-Khauwash bercerita :

"Pernah aku tersesat dalam suatu perjalananku di padang pasir selama beberapa hari. Tiba-tiba ku lihat seorang lelaki datang kepadaku sambil bertanya :

"Adakah kamu tersesat."

Jawabku : "Ya, aku tidak tahu jalan."

Tanya orang itu kemudian : "Mahukah aku tunjukkan jalan."

Kemudian lelaki itu berjalan di depanku beberapa langkah dan segera menghilang. Dan akupun berhasil menemukan jalan yang sebenarnya. Sejak saat itu aku tidak pernah tersesat jalan lagi ataupun menderita lapar dan haus."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibrahim Al-Khauwash pernah juga bercerita :

"Dalam suatu perjalananku di hijaz pernah aku merasa haus hingga badanku lemah. Sedangkan aku mencari-cari air ke sana ke mari namun tidak ku dapati setitispun. Tiba-tiba aku bertemu dengan seorang pemuda kacak yang mengendarai seekor kuda yang hebat pula. Pemuda itu memakai jubah hijau dan serban kuning. Kemudian ia menghulurkan padaku sebuah bekas diperbuat dari emas yang berisi air minum. Setelah ku minum dengan puas pemuda itu menyuruhku membonceng di belakang kenderaannya. Kami berdua mengendarai kudanya sampai di perbatasan kota Madinah. Kemudian ia bertanya kepadaku :

"Apakah yang kau lihat?"

Jawabku : "Kami telah sampai di Madinah."

Kata pemuda tu : "Turunlah di sini dan katakan pada Rasulullah s.a.w. bahawa saudaramu Khidir berkirim salam buat engkau ya Rasulullah."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu aku tersesat di padang pasir. Untuk beberapa lama aku berjalan ke satu arah yang tetap tetapi aku tidak menemui jalan. Berhari-hari lamanya aku kehilangan arah seperti itu sehingga pada akhirnya aku mendengar kokok ayam. AKu kegirangan dan berjalan ke arah datangnya suara kokok ayam tersebut. Tetapi yang ku jumpai adalah seseorang yang segera menyerang dan memukul tengkukku. Pukulan itu sangat menyakitkan.

"Ya Allah," aku berseru, "Beginikah perlakuan mereka terhadap seseorang yang menyerahkan diri kepadaMu?"

Maka terdengarlah olehku sebuah seruan yang ditujukan kepadaku :

"Selama engkau percaya kepadaKu, selama itu pula engkau mulia menurut pandanganKu. Tetapi kerana engkau telah mempercayai kokok seekor ayam, maka terimalah olehmu pukulan itu sebagai hukumanmu."

Badanku masih terasa perit tetapi aku tetap melanjutkan perjalanan.

"Khauwash," terdengar suara, "pukulan orang-orang itu telah mencederakan dirimu, tetapi lihatlah apa yang di hadapanmu itu."

Aku mengangkat kepala dan terlihatlah di depanku kepala orang yang memukulku tadi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku telah bersumpah akan mengembara di padang pasir tanpa bekalan, makanan dan binatang tunggangan. Apabila aku memasuki padang pasir, seorang pemuda mengejarku dan mengucapkan salam.

"Assalamualaikum syeikh," katanya.

Aku berhenti dan ku jawab salamnya. Kemudian tahulah aku bahawa dia beragama Kristian.

"Bolehkah aku berjalan bersamamu?" pemuda itu bertanya.

"Tempat yang ku tuju dilarang untukmu, maka apakah faedahnya bagimu untuk berjalan bersamaku?" jawabku.

"Tidak mengapa," jawabnya. "Mungkin sekali dengan berjalan bersamamu akan membawa keberkatan."

Setelah seminggu berjalan, pada hari yang kelapan pemuda itu berkata kepadaku :

"Wahai pertapa budiman dari kaum Hanafiah, beranikah dirimu untuk meminta sekadar makanan dari Tuhanmu kerana aku merasa lapar?"

"Ya Tuhanku," aku berdoa. "Demi Muhammad s.a.w. janganlah Engkau membuatku malu di depan orang asing ini tetapi turunkanlah sesuatu dengan keghaiban."

Sesaat itu juga terlihatlah olehku sebiji dulang yang penuh dengan roti, ikan panggang, kurma dan sekendi air. Maka duduklah kami untuk memakan hidangan itu.

Kemudian kami meneruskan perjalanan hingga genap satu minggu pula. Pada hari kelapan aku berkata kepada teman seperjalananku itu :

"Wahai rahib, tunjukkanlah kebolehanmu kerana aku telah merasa lapar."

Sambil bersandar pada tongkatnyya, pemuda itu berdoa dengan bibir kumat-kamit. Sesaat itu juga muncul dua buah meja yang setiapnya penuh dengan halwa, ikan, kurma dan sekendi air. Aku kehairanan.

"Makanlah wahai pertapa," pemuda kristian itu berkata kepadaku.

Aku sangat malu memakan hidangan itu.

"Makanlah," pemuda itu mendesak, "sesudah itu akan ku sampaikan kepadamu beberapa khabar gembira."

"Aku tidak mahu makan sebelum engkau menyampaikan khabar gembira itu," jawabku.

"Yang pertama adalah bahawa aku akan melepaskan ikatanku ini," katanya.

Setelah berkata demikian dilepaskannya tali pinggang yang sedang dikenakannya. Kemudian dia meneruskan kata-katanya :

"Aku bersaksi, tiada Tuhan kecuali Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah. Khabar gembira yang kedua adalah sesungguhnya doaku tadi adalah : `Ya Allah, demi orang tua yang mulia pada pandanganMu ini, orang tua penganut agama yang benar ini, berilah aku makanan agar aku tidak mendapat malu di hadapannya.` Sesungguhnya hal ini terjadi kerana berkatmu juga."

No comments:

Post a Comment