Monday, March 19, 2012

Abu Yazid Thaifur Bin Isa Surusyan Al-Busthami

Lahir dan meninggal dunia di Busthami pada tahun 261 H/874 M atau 264 H/877 M, dan makamnya masih ada hingga saat ini. Di samping keharuman namanya sebagai tenaga pengajar golongan sufi, ia terkenal kerana keberaniaannya menyatakan jalan-jalan yang sempurna bagi seorang sufi dalam mengenal Allah. Secara khusus penjelasannya mengenai jalan mendapat syurga (yang sama dengan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.), sering dipelajari oleh para penulis dan sangat mempengaruhi keinginann manusia-manusia selepasnya.

Ada seorang wali di antara orang-orang alim yang terkenal di Bustam. Ia mempunyai banyak pengikut dan penyanjung, tetapi ia sendiri sentiasa mengikuti pelajaran-pelajaran yang diberikan Abu Yazid. Dengan tekun ia mendengar pengajaran Abu Yazid dan duduk bersama sahabat-sahabat beliau.

Pada suatu hari ia berkata kepada Abu Yazid :

"Pada hari ini genaplah 30 tahun lamanya aku berpuasa dan berdoa sepanjang malam sehingga aku tidak pernah tidur. Namun pengetahuan yang engkau sampaikan ini belum pernah menyentuh hatiku. Walau demikian aku percaya kepada pengetahuan itu dan suka mendengarkan ceramah-ceramahmu."

"Walaupun engkau berpuasa siang malam selama 300 tahun, sedikit pun dari pengajaranku ini tidak akan dapat engkau hayati."

"Mengapakah demikian?" murid itu bertanya.

"Kerana matamu tertutup oleh dirimu sendiri," jawab Abu Yazid.

"Apakah yang harus ku lakukan?" murid tu bertanya lagi.

"Jika ku katakan, pasti engkau tidak mahu menerimanya."

"Aku akan mengikutinya! Katakanlah kepadaku supaya ku lakukan seperti yang engkau nasihat."

"Baiklah," jawab Abu Yazid. "Sekarang juga cukurlah janggut dan rambutmu. Tanggalkan pakaian yang sedang engkau pakai ini dan gantilah dengan pakaian yang dibuat dari bulu biri-biri. Gantungkan sebungkus kacang di lehermu, kemudian pergilah kepada anak-anak dan katakan kepada mereka : `Akan ku berikan sebiji kacang kepada sesiapa yang memukul kepalaku.` Dengan cara yang sama pergilah kamu mengelilingi kota, terutama sekali di tempat di mana orang-orang sudah mengenalmu dan buatlah seperti ini. Itulah yang harus engkau lakukan."

"Maha Besar Allah! Tiada Tuhan kecuali Allah," cetus si murid setelah mendengar kata-kata Abu Yazid itu.

"Jika seorang kafir mengucapkan kata-kata itu nescaya ia menjadi seorang Muslim," kata Abu Yazid. "Tetapi dengan mengucapkan kata-kata yang sama engkau telah mempersekutukan Allah."

"Mengapa begitu?" tanya si murid.

"Kerana engkau merasakan bahawa dirimu terlalu mulia untuk melakukan seperti yang telah ku katakan tadi. Kemudian engkau mencetuskan kata-kata tadi untuk menunjukkan bahawa engkau adalah seorang yang mulia tetapi bukan untuk memuliakan Allah. Dengan demikian bukankah engkau telah mempersekutukan Allah?"

"Cadanagan-cadanganmu tadi tidak dapat ku laksanakan. Berikanlah cadangan yang lain," murid itu keberatan.

"Hanya itulah yang dapat ku cadangkan," Abu Yazid menegaskan.

"Aku tidak sanggup melaksanakannya," murid itu mengulangi kata-katanya.

"Bukankah telah aku katakan bahawa engkau tidak akan sanggup untuk melaksanakannya dan engkau tidak akan menuruti kata-kataku," kata Abu Yazid.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Isa Al-Bustami meriwayatkan :

"Selama 13 tahun ia bergaul dengan Syeikh Abu Yazid, dia tidak pernah mendengar ia mengucapkan sepatah kata pun. Demikianlah kebiasaannya, sentiasa menundukkan kepala ke atas kedua lututnya, kadang mendongak, mengeluh dan kembali ke dalam tafakurnya.

Mengenai hal ini Sahlagi memberi komen, memang demikianlah tingkah laku Abu Yazid apabila berada dalam keadaan susah hati tetapi apabila berada dalam keadaan senang, setiap orang akan mendapatkan manfaat dari setiap pengajarannya.

"Pada suatu ketika," Sahlagi bercerita, "Ketika Abu Yazid sedang bersendirian, terdengarlah ia berkata-kata :

"Maha besar aku. Betapa mulia diriku ini."

Ketika ia sedar, murid-muridnya memberitahukan apa yang dikatakannya tadi. Maka Abu Yazid menjawab :

"Memusuhi Allah adalah sama dengan memusihi Abu Yazid. Jika aku mengucapkan kata-kata seperti itu sekali lagi, cincanglah tubuhku ini."

Kemudian ia memberikan kepada setiap muridnya sebilah pisau dengan pesanan. "Jika kata-kata tadi ku ucapkan lagi, bunuhlah aku dengan pisau ini."

Tetapi peristiwa tadi berlaku lagi apabila Abu Yazid mengucapkan kata-kata yang sama. Apabila murid-muridnya hendak membunuhnya, tubuh Abu Yazid menggelembung dan memenuhi seluruh ruangan. Para sahabat melepaskan bata-bata dari dinding ruangan ini sambil menikam dengan pisau ke tubuh Abu Yazid. Tetapi perbuatan mereka bagai menikam air dan pukulan-pukulan mereka sama sekali tidak memberikan apa-apa. Beberapa saat kemudian tubuh yang menggelembung tadi kuncup kembali dan mereka melihat Abu Yazid menjadi kecil seperti seekor burung pipit sedang duduk di sejadah. Sahabat-sahabatnya menghampirinya dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Abu Yazid berkata :

"Yang kamu saksikan sekarang inilah Abu Yazid, yang tadi bukan Abu Yazid."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Yazid menceritakan : Suatu ketika aku bermalam di padang pasir. Aku menutup kepalaku dengan pakaianku  dan aku pun tertidur. Tanpa disangka-sangka aku mengalami sesuatu (yang dimaksudkan adalah mimpi berahi) sehingga aku harus mandi. Tetapi malam itu terlampau sejuk, dan apabila terjaga aku merasa malas sekali untuk bersuci dengan air dingin.

"Tunggulah sampai matahari tinggi," hatiku berkata.

Setelah menyedari betapa diriku enggan dan tidak mempedulikan kewajipan agama itu, aku segera bangun aku cairkan salji dengan jubahku lalu aku mandi. Jubah yang basah itu ku kenakan kembali sehingga aku pengsan kesejukan. Tidak berapa lama kemudian aku sedar dan ku lihat jubahku telah kering.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu hari Abu Yazid berjalan-jalan dengan beberapa orang muridnya. Jalan yang sedang mereka lalui itu sempit dan dari arah hadapan datanglah seekor anjing. Abu Yazid mengelak ke tepi untuk memberi jalan kepada binatang itu.

Salah seorang muridnya tidak menyetujui perbuatan Abu Yazid ini dan berkata :

Allah Yang Maha Besar telah memuliakan manusia di atas segala makhluk-makhlukNya. Abu Yazid adalah raja di antara kaum sufi, tetapi dengan ketinggian martabatnya itu berserta murid-muridnya yang lain memberi jalan kepada seekor anjing. Adakah perbuatan seperti itu sangat elok?"

Abu Yazid menjawab :

"Anak muda, anjing tadi secara diam-diam telah berkata kepadaku : Apakah dosaku dan apakah pahalamu pada awal kejadian sehingga aku berpakaian kulit anjing dan engkau memakai jubah kehormatan seebagai raja di antara para sufi? Oleh sebab itulah aku memberi jalan kepadanya."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari Abu Yazid sedang menyusuri sebuah jalan dan ketika itu seekor anjing berlari-lari di sampingnya. Melihat hal ini, Abu Yazid segera mengangkat jubahnya, tetapi anjing itu berkata :

"Tubuhku kering dan aku tidak melakukan kesalahan apa-apa. Jika tubuhku basah, engkau akan menyucinya dengan air yang bercampur tanah tujuh kali, selesailah persoalan diantara kita. Tetapi, apabila engkau mengangkat jubah seperti seorang Parsi, dirimu tidak akan menjadi bersih walaupun engkau membasuhnya dengan tujuh lautan."

Abu Yazid menjawab :

"Engkau kotor secara lahiriah tetapi aku kotor secara batiniah. Marilah kita sama-sama berusaha agar kita berdua menjadi bersih."

Tetapi anjing itu menyahut :

"Engkau tdak elok berjalan bersama-sama dengan diriku dan menjadi sahabatku, kerana semua orang menolak kehadiranku dan menyambut kehadiranmu. Siapa pun yang bertemu denganku akan membalingku dengan batu tetapi siapa pun yang bertemu denganmu akan menyambut sebagai raja diantara para sufi. Aku tidak pernah menyimpan seketul tulang tetapi engkau memiliki seguni gandum untuk makanan esok hari."

Abu Yazid berkata :

"Aku tidak boleh berjalan bersama seekor anjing! Bagaimana aku dapat berjalan bersama Dia Yang Abadi dan Kekal? Maha Besar Allah yang telah memberi pengajaran kepada yang termulia diantara makhlukNya melalui yang terhina diantara semuanya!"

Kemudian Abu Yazid meneruskan ceritanya :

"Aku sangat berduka, bagaimana aku dapat menjadi hamba Allah yang patuh? Aku berkata kepada diriku sendiri : Aku akan pergi ke pasar untuk membeli tali pinggang(yang dikenakan oleh orang-orang yang bukan Muslim), dan ikat pinggang itu akan ku pakai sehingga namaku menjadi hina pada pandangan orang ramai. Maka aku pergi ke pasar hendak membeli sebuah tali pinggang . Di dalam sebuah kedai terlihat olehku tali pinggang yang sedang tergantung.

"Harganya mungkin 1 dirham," kataku dalam hati.

Kemudian aku bertanya kepada pelayan kedai itu :

"Berapa harga tali pinggang ini?"

"1000 dinar," jawabnya.

Aku tidak dapat berbuat apa-apa tetapi hanya berdiri dengan kepala tertunduk. Pada saat itu terdengar olehku seruan dari atas langit.

"Tidak tahukah engkau bahawa dengan harga di bawah 1000 dinar orang-orang tidak akan menjual sebuah tali pinggang untuk diikatkan ke pnggang seorang manusia seperti engkau?"

Mendengar seruan itu hatiku merasa gembira kerana tahulah aku bahawa Allah masih memerhatikan hambaNya ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu malam Abu Yazid bermimpi malaikat-malaikat dari langit pertama turun ke bumi. Kepada Abu Yazid mereka berseru :

"Bangunlah dan marilah berzikir kepada Allah."

Abu Yazid menjawab :

"Aku tidak ada lidah untuk berzikir kepadaNya."

Malaikat-malaikat dari langit yang kedua pula turun ke bumi. Mereka menyerukan kata-kata yang sama dan Abu Yazid memberikan jawapan yang sama. Begitulah seterusnya sehingga malaikat-malaikat dari langit yang ketujuh turun. Namun kepada mereka ini pun Abu Yazid memberikan jawapan yang sama. Maka malaikat-malaikat itu bertanya kepada Abu Yazid :

"Bilakah engkau akan memiliki lidah untuk berzikir kepada Allah?"

"Apabila penduduk neraka telah tetap di neraka dan penduduk syurga tetap tinggal di dalam syurga dan Hari Kebangkitan telah terjadi maka Abu Yazid akan mengelilingi takhta Allah sambil berseru : "Allah! Allah!"

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berhampiran rumah Abu Yazid tinggal seorang penganut Zoroaster. Ia mempunyai seorang anak yang selalu menangis kerana rumah mereka gelap tidak berlampu. Abu Yazid membawakan sebuah pelita untuk mereka. Anak itu segera berhenti dari tangisannya. Mereka berkata :

"Oleh kerana cahaya Abu Yazid telah memasuki rumah ini, maka sangat malanglah apabila kita tetap berada di dalam kegelapan."

Mereka segera memeluk agama Islam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari seseorang berkata kepada Abu Yazid :

"Sewaktu orang meninggal dunia di Tabaristan, ku lihat engkau di sana bersama Khidir a.s. , dia memeluk lehermu sedang engkau meletakkan tanganmu di punggungnya. Ketika orang ramai kembali dari kubur, ku lihat engkau terbang ke angkasa."

"Ya segala yang engkau kaakan itu benar-benar terjadi," jawabku.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu hari seorang lelaki datang dan bertanya kepada Abu Yazid tentang hal rasa malu. Abu Yazid memberikan jawapan dan seketika itu juga orang tersebut berubah menjadi air. Sesaat kemudian masuk pula seorang lelaki, setelah melihat genangan air itu ia bertanya kepada Abu Yazid :

"Guru, apakah ini?"

Abu Yazid menjawab :

"Seorang lelaki menemuiku lalu bertanya tentang rasa malu. Aku memberikan jawapan. Mendengarkan penjelasanku ia tidak dapat menahan dirinya dan kerana sangat malu tubuhnya berubah menjadi air."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suatu ketika tentera Islam berperang melawan Bizantium. Mereka hampir dapat dikalahkan musuh. Tiba-tiba mereka terdengar satu seruan :

"Abu Yazid, tolonglah!"

Seketika itu juga api menyembur dari arah Khurasan sehingga tentera kafir mati ketakutan dan tentera Muslimin memenangi pertempuran.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Diriwayatkan bahawa Abu Yazid telah 70 kali diterima Allah berjumpa denganNya. Setiap kali kembali dari perjumpaan dengan Allah itu Abu Yazid memakai sebuah ikat pinggang yang kemudian diputuskannya.

Menjelang akhir hayatnya Abu Yazid memasuki tempat solatnya dan memakai sebuah ikat pinggang. Baju dan topinya yang berbuat dari bulu biri itu dipakainya secara terbalik dan kemudian ia berkata kepada Allah :

"Ya Allah, aku tidak membanggakan terhadap zuhud yang telahku laksanakan seumur hidupku, aku tidak banggakan solat yang telahku lakukan sepanjang malam. Aku tidak menyombongkan puasa yang telahku lakukan selama hidupku. Aku tidak menonjolkan diriku kerana telah berapa kali aku mengkhatam Al-Quran. Aku tidak akan mengatakan pengalaman-pengalaman ajaib yang telahku alami, doa yang telahku pohonkan dan betapa rapat hubungan antara Engkau dan aku. Engkau mengetahui bahawa aku tidak menonjolkan segala sesuatu yang telah ku lakukan itu. Semua yangku katakan ini bukanlah untuk membanggakan diri atau meminta kepercayaan daripadaMu. Semua iniku katakan kepadaMu kerana aku malu atas segala perbuatanku itu. Engkau telah melimpahkan rahmatMu sehingga aku dapat mengenal diriku sendiri. Semuanya tidak bererti, anggaplah tidak pernah terjadi. Aku adalah seorang Torkoman yang berusaha 70 tahun dengan rambut yang telah memutih di dalam kejahilan. Dari padang pasir aku datang sambil berseru-seru :

"Tangri! Tangri! Baru sekarang inilah aku dapat memutuskan ikat pinggang ini. Baru sekarang inilah aku dapat melangkah ke dalam kehidupan Islam. Baru sekarang inilah aku dapat menggerakkan lidah untuk mengucapkan syahadah. Segala sesuatu yang engkau perbuat adalah tanpa sebab. Engkau tidak menerima umat manusia kerana kepatuhan mereka dan Engkau tidak akan menolak mereka hanya kerana keingkaran mereka. Segala sesuatu yangku lakukan hanyalah debu. Kepada setiap perbuatanku yang tidak berkenan kepadaMu aku memohon keampunanMu. Basuhlah debu keingkaran dari dalam diriku kerana aku pun telah membasuh debu kelancangan kerana mengaku telah mematuhiMu."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Beliau lebih dikenal dengan nama Abu Yazid Al-Busthami. Beliau termasuk salah seorang wali besar yang kenamaan. Tentang kekaramahannya tidak dapat diragukan lagi. Al-Qusyairi meriwayatkan bahawasanya Abdurahman Bin Muhammad As-Shufi berkata :

"Ayah saudaraku pernah bercerita :

"Pada suatu hari ketika kami sedang hadir di majlis Abu Yazid Al-Busthami tiba-tiba beliau berkata :

"Bangkitlah kamu, mari kita menyambut kedatangan seorang wali Allah."

Kami berjalan di belakang beliau sampai di batas kota. Setibanya kami di batas kota kami dapati Syeikh Ibrahim Bin Syaibah Al-Harawi akan masuk dalam kota. Abu Yazid berkata :

"Tergerak dalam hatiku untuk menyambutmu dan untukku mintakan Syafaat bagimu dari Allah."

"Jika aku mintakan Syafaat bagimu dan engkaupun diberi Syafaat oleh Allah maka hal itu tidaklah sulit bagi Allah kerana engkau dijadikan dari tanah," jawab Syeikh Ibrahim.

Syeikh Abu Yazid menjadi terharu atas jawapan beliau.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Imam Al-Nawawi meriwayatkan bahawa ada salah seorang murid Abu Yazid Al-Busthami berkata :

"Aku pernah bertanya tentang maksud bertawakal kepada Syeikh Abdurrahman Bin Yahya. Beliau memberi jawapan yang aku kurang puas. Kemudian aku mengetuk pintu Abu Yazid Al-Busthami untukku tanyakan maksud bertawakal. Abu Yazid tidak membukakan pintu padaku dan beliau hanya berkata dari belakang pintu :

"Tidakkah cukup dengan jawapan Syeikh Abdurrahman Bin Yahya?"

"Bukakan pintu padaku," jawabku.

"Kamu datang ke mari bukan untuk berziarah padaku, kamu hanya ingin bertanya saja dan Syeikh Abdurrahman telah memberikan jawapan padamu," jawab Abu Yazid.

Setelah setahun dari kejadian itu aku datang berkunjung pada beliau. Di saat itulah beliau menyambutku dengan hangat sambil berkata :

"Aku sambut kamu kerana kamu memang datang dengan niat ziarah."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Diriwayatkan ada seorang berkata pada Syeikh Abu Yazid :

"Aku dengar bahawa anda dapat terbang di udara apakah benar hal itu?"

"Apa yang anda hairankan tentang hal itu, tidakkah burung pemakan bangkai dapat terbang, sedangkan seorang Mukmin yang jauh lebih mulia dari burung apakah anda hairan jika hal itu terjadi?" jawab Abu Yazid.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Di lain kesempatan Abu Yazid pernah berkata :

"Telah berjalan 30 tahun setiap kali hatiku tergerak ingin berzikir kepada Allah aku selalu membersihkan mulut dan lidahku terlebih dahulu demi untuk mengagungkan Zat Allah."

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Al-Khani pernah berkata :

"Syeikh Abu Yazid pernah berkata :

"Pada suatu malam yang gelap gelita pernah aku melunjurkan kakiku ke arah depan Mihrabku, tiba-tiba aku mendengar suara ghaib menegurku :

"Layakkah seorang yang duduk di hadapan raja dengan cara yang tidak sopan?"

Abu Yazid meninggal tepat pada tahun 261 H dalam usia 73 tahun.

No comments:

Post a Comment